Cukup-cukuplah guna singkatan PKP, PKPD, PKPDB, kerajaan diberitahu

Cukup-cukuplah guna singkatan PKP, PKPD, PKPDB, kerajaan diberitahu

Pakar berkata, sistem amaran 5 peringkat mengikut kod warna adalah lebih jelas dan kurang mengelirukan.

Anggota polis dan tentera berkawal di kawasan yang dikenakan di PKPDB (perintah kawalan pergerakan dipertetatkan bersyarat). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pakar kesihatan mencadangkan agar Malaysia beralih kepada sistem amaran berperingkat bagi menandakan perbezaan tahap kecemasan dalam krisis Covid-19 untuk memberikan informasi lebih jelas mengenai pelbagai protokol dan sekatan yang dikenakan.

Pengerusi Malaysian Medics International, Dr Vikkineshwaran Siva Subramaniam berkata: “Kita perlu beri penjelasan dan arahan jelas kepada umum dan tak biarkan mereka bertindak sendiri. Kebanyakan maklumat yang masyarakat perlu tahu memang diberikan, tetapi ia mengelirukan.

“Sebagai contoh nama-nama yang kita gunakan untuk perintah kawalan pergerakan, kita ada banyak variasi, iaitu PKP, PKPP, PKPB, PKPDB dan sebagainya.

“Singkatan ini sebenarnya tidak ada makna. Saya fikir sistem amaran 5 peringkat di UK lebih berkesan kerana walaupun tanpa konteks, amaran itu masuk akal. Tahap 1 baik, tahap 5 buruk,” katanya.

Britain dan Ireland memperkenalkan sistem 5 peringkat mengikut kod warna pada Mei untuk menentukan langkah berbeza untuk situasi yang berbeza.

Peringkat-peringkat itu adalah berdasarkan nombor pembiakan virus (R0, disebut R-naught) dan jumlah kes yang disahkan pada satu-satu masa.

Beliau berkata penduduk di UK dilatih untuk bersedia dengan setiap peringkat, selain perubahan tertentu yang berlaku dari semasa ke semasa, sekali gus menjadikan keadaan kurang mengejutkan.

“Kerajaan Malaysia sebenarnya melakukan banyak perkara untuk mengekang Covid-19, malangnya kemahiran perhubungan awamnya lemah. Justeru orang awam tidak dapat mengukur dan menghargai tindakan yang diambil serta langkah berjaga-jaga yang diperlukan.”

Pusat Galen untuk Kesihatan dan Dasar Sosial berkata tahap amaran lebih koheren berbanding larangan meluas dan umum diguna pakai di negara ini, selain menambah bahawa penggunaan zon sebelum ini berguna semasa peringkat awal pandemik.

“Tetapi sekarang ia perlu diganti dengan kerangka lebih baik yang mencerminkan peningkatan pemahaman kita tentang wabak dan mengimbangkan hakikat bahawa kita perlukan bahagian-bahagian ekonomi kita berfungsi.

“Amaran berperingkat atau bernombor dengan arahan yang jelas tentang apakah yang boleh dan tidak boleh dibuat lebih koheren dan kurang mengelirukan.

Kini ia nampak seperti sewenang-wenang dan kadang-kadang saling bercanggah dan tidak berdasarkan bukti,” kata ketua pegawai eksekutifnya Azrul Mohd Khalib.

Azrul memberitahu FMT bahawa tidak harus ada kekaburan dalam keputusan mengenai SOP dengan mekanisme penyelarasan Majlis Keselamatan Nasional (MKN), walaupun pemegang taruh perlu dirunding lebih awal dan secara konsisten mengenai apa-apa perubahan.

“Daripada sewenang-wenang membuat keputusan dan menjangkakan ia dilaksanakan, pemegang taruh, terutama sektor swasta mahukan dasar yang koheren, boleh dijangka dan konsisten. Jika tidak keadaan akan menjadi kelam-kabut dan merugikan diri sendiri.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.