AS masih bincang dakwaan ‘buruh paksa’ dengan Top Glove

AS masih bincang dakwaan ‘buruh paksa’ dengan Top Glove

Kastam dan Perlindungan Sempadan AS berkata, Top Glove mengambil serius dakwaan itu dan sedang membuat penambahbaikan.

AS melaksanakan larangan import ke atas 2 anak syarikat Top Glove sejak Julai lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Amerika Syarikat sedang berbincang dengan Top Glove untuk membetulkan petanda buruh paksa yang didakwa ditemui dalam 2 unit pengeluaran, lapor Reuters hari ini.

Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) dalam e-mel kepada Reuters berkata, butiran perbincangan dengan syarikat itu adalah sulit.

“CBP menilai Top Glove mengambil serius perkara ini dan sedang membuat penambahbaikan.”

Top Glove Corporation, pengeluar sarung tangan perubatan terbesar di dunia, berusaha membatalkan larangan import yang dikenakan AS ke atas 2 anak syarikatnya Julai lalu.

CBP berkata, tiada “garis masa normal atau khusus” untuk mengubah atau menarik balik larangan itu.

Katanya, syarikat itu perlu membetulkan semua penunjuk buruh paksa daripada proses pengeluarannya.

Top Glove tidak segera membalas permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.

Syarikat itu tidak menerima atau menafikan dakwaan itu secara terbuka, sebaliknya hanya mengulangi ia sedang berbincang dengan CBP untuk menyelesaikan isu berbangkit.

Reuters berkata, syarikat itu menyerahkan laporan audit yang disediakan perunding bebas kepada agensi AS terbabit bulan lalu.

Bulan ini, Top Glove meningkatkan jumlah yang akan dibayar balik kepada pekerja asing untuk bayaran pengambilan kepada RM136 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.