
Ini berikutan insiden seorang wanita meninggal dunia selepas jatuh dari tingkat 8 sebuah hospital di Kota Kinabalu pada malam Rabu lepas.
Presiden MMHA Dr Andrew Mohanraj berkata, wujud stigma yang dikaitkan dengan wabak itu, dengan menambah bahawa mereka yang sedia mempunyai masalah kesihatan mental lebih terdedah kepada tindakan lebih ekstrem hingga ke peringkat membunuh diri.
Beliau memberitahu FMT bahawa disahkan bebas daripada virus Covid-19 kelihatan tidak memadai sama ada kepada bekas pesakit atau individu yang menjalani kuarantin kerana mereka berkemungkinan berdepan “boikot” dan diskriminasi sosial.
“Wujud keperluan untuk berhubung dengan pesakit bagi menilai keadaan psikologi mereka kerana jelas terdapat banyak stigma yang dikaitkan dengan perkara ini.
“Sokongan komuniti diperlukan dan bagi memastikan ia berlaku, harus wujud aliran maklumat yang jelas kepada pesakit dan anggota keluarga mereka. Orang ramai mungkin tidak faham sepenuhnya takat kerosakan yang boleh disebabkan oleh Covid-19,” katanya.
Selain diskriminasi sosial dan stigma yang dihadapi pesakit katanya, kemungkinan berlakunya krisis ekonomi boleh meningkatkan risiko bunuh diri.

Mohanraj berkata, masyarakat perlu belajar bagaimana untuk menerima dan mengasimilasikan pesakit yang pulih kembali kepada komuniti, bukannya membuat kesimpulan sendiri atau menjadi mangsa berita palsu yang semakin memburukkan stigma terhadap mereka.
Beliau berkata, pemimpin komuniti dan agama memainkan peranan besar dalam mendidik masyarakat bagi menyekat diskriminasi terhadap bekas pesakit Covid-19, ataupun individu yang disyaki dijangkiti virus tersebut atau mereka yang dikenakan perintah kuarantin.
Beliau juga menyuarakan kebimbangan berhubung tahap kesihatan mental petugas kesihatan yang mempunyai kontak berterusan dengan pesakit Covid-19 dan individu yang dikuarantin.
Katanya, mereka sendiri mungkin juga bergelut dengan trauma psikologi tertentu yang boleh menyebabkan mereka mengalami “kelesuan perasaan kasih sayang” dan “burnout” emosi.
“Petugas barisan hadapan mungkin begelut dengan perasaan takut dijangkiti dan mengalami tekanan yang bertambah kerana melihat pesakit meninggal dunia di hadapan. Mereka juga mungkin berdepan boikot dan diskriminasi sosial.
“Perkara ini berlaku di seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali,” katanya.
Beliau menggesa petugas barisan hadapan supaya mendapatkan bantuan profesional sekiranya memerlukannya selain tidak malu untuk berbuat demikian kerana keperluan mereka perlu ditangani sewajarnya.
Seorang wanita berusia 63 tahun yang dipercayai pesakit Covid-19 meninggal dunia di Kota Kinabalu pada Rabu walaupun beliau dijadualkan untuk didiscaj keesokan harinya.
Beliau ditemui di tingkat bawah Hospital Queen Elizabeth 1 pada pukul 9.15 malam selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 8.
Pengarah Kesihatan Sabah Dr Christina Rundi bagaimanapun mengesahkan wanita berkenaan bukan pesakit Covid-19 tetapi ditempatkan di wad pengasingan hospital berkenaan kerana disyaki dijangkiti wabak tersebut.