UiTM tangguh konvokesyen secara janji temu 1 Dis

UiTM tangguh konvokesyen secara janji temu 1 Dis

Penetapan tarikh baharu itu bagaimanapun tertakluk kepada situasi semasa Covid-19 serta arahan daripada Majlis Keselamatan Negara.

UiTM memaklumkan keputusan itu dibuat demi mengutamakan keselamatan, kesihatan, kebajikan dan kesejahteraan semua warganya serta jemputan susulan penularan Covid-19 ketika ini.
SHAH ALAM:
Universiti Teknologi MARA (UiTM) menangguhkan penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu yang dijadual bermula 7 November ke tarikh baharu iaitu 1 Disember depan.

Menurut UiTM dalam kenyataan hari ini, penetapan tarikh baharu itu bagaimanapun tertakluk kepada situasi semasa Covid-19 serta arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Keputusan itu dibuat demi mengutamakan keselamatan, kesihatan, kebajikan dan kesejahteraan semua warga UiTM serta jemputan susulan penularan pandemik itu ketika ini.

“Janji temu yang dibuat graduan sebelum ini terbatal serta tidak terpakai. Graduan diminta mengisi dan mendaftar semula melalui Sistem Janji Temu untuk mendapatkan tarikh baharu.

“Pendaftaran untuk tarikh baharu itu akan dibuka bermula Isnin depan hingga 8 November. Graduan boleh melayari laman sesawang https://konvokesyen.uitm.edu.my/v1/ untuk mendapatkan pautan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Selain melalui laman sesawang itu, graduan juga boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai sesi penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu dengan menghubungi pegawai di Bahagian Rekod Pelajar dan Konvokesyen di talian 03 55443110 atau 03 55443114.

Pada 29 September lalu, UiTM memperkenalkan penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu dalam suasana kebiasaan baharu berikutan peningkatan kes pandemik Covid-19 yang tidak menentu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.