
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Perdagangan Antarabanga dan Industri (MITI) baru-baru ini mengeluarkan arahan berasingan mengenai kumpulan yang dibenarkan bekerja di premis perniagaan dan tempoh waktu bekerja.
Kula meminta Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob dan Mohamed Azmin Ali (MITI) supaya bekerjasama menyediakan SOP yang mudah difahami, seterusnya disampaikan oleh seorang jurucakap dengan jelas dan mudah.
“Arahan kerajaan berhubung bekerja dari rumah (WFH) kerap berubah-ubah sejak 2 hari lalu dan gagal difahami oleh pekerja dan majikan.
“Pekerja dan kumpulan perniagaan buntu, tidak tahu SOP mana yang harus diikuti kerana berlaku kekeliruan mengenai SOP yang diumumkan oleh Ismail Sabri dan Azmin,” katanya.
Kula juga mempersoalkan arahan membenarkan 90% kakitangan pengurusan bekerja dari rumah dan mengehadkan waktu bekerja kepada 4 jam sehari, 3 hari seminggu.
Beliau juga berkata, keputusan itu seperti “tidak masuk akal”.
“Arahan berkenaan gagal dan pekerja berdepan masalah yang tidak perlu.”
Kekeliruan katanya, akan memberi masalah kepada aktiviti perniagaan yang kini sudah pun berdepan tekanan akibat pandemik Covid-19.
“Kerajaan perlu berkomunikasi dengan pekerja, majikan dan persatuan sebelum membuat sebarang keputusan.”
Beliau membuat kenyataan itu selepas Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendakwa kerajaan gagal berunding dengan pihak yang terbabit sebelum mengumumkan pelaksanaan arahan kerja dari rumah.