
Setiausaha MTUC cawangan Selangor dan Kuala Lumpur Mohd Faisal Hussin berkata, pengumuman mengenai arahan itu kurang jelas dan mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pekerja dan pengurusan, selain menambah bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerap mengubah arahannya.
Beliau berkata, keputusan berhubung keperluan bekerja dari rumah sepatutnya diserahkan kepada pemilik syarikat dan operator kerana mereka lebih memahami keadaan masing-masing berbanding Putrajaya.
“Jika tujuannya adalah untuk mengurangkan bilangan orang di tempat kerja, maka serahkan kepada syarikat untuk buat keputusan kakitangan mana yang perlu datang bekerja atau bekerja dari rumah, sama ada pengurus atau bukan.
“Dasar ini banyak kelemahan dan jelas juga kerajaan gagal berunding dengan pemegang taruh seperti kumpulan majikan dan wakil pekerja sebelum membuat peraturan itu.
“Tiba masanya MKN dan kementerian terbabit bertindak lebih cekap. Mereka patut tetapkan SOP standard dan tidak berbolak-balik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Faisal juga mempersoal bolak-balik berhubung ujian swab selepas Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya pekerja pembinaan dan pengawal keselamatan perlu menjalaninya, sementara pekerja lain hanya perlu menjalaninya jika mereka menunjukkan simptom Covid-19.
Beliau berkata, adalah lebih berkesan sekiranya pekerja tanpa simptom di zon merah melalui ujian berkala di klinik yang ditetapkan oleh Perkeso dan dibayar oleh majikan, dengan menambah bahawa pekerja yang menunjukkan simptom memang tidak dibenarkan keluar rumah.
Beliau juga bertanya tentang tempoh sah ujian negatif seseorang pekerja kerana mereka masih boleh dijangkiti walaupun didapati negatif sebelum itu.
“Semua persoalan ini perlu dijawab oleh Ismail dan Menteri Kanan (Ekonomi) Mohamed Azmin Ali.
“MKN mesti mengeluarkan FAQ berhubung semua isu berkaitan sebelum mengenakan apa-apa juga peraturan sekatan. Ada antaranya tidak praktikal,” katanya.