
Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan itu berkata, gencatan politik diumumkan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi dan berikrar mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN), langkah tepat untuk tidak mengeruhkan lagi situasi politik negara yang tidak menentu.
“Tekanan ekonomi akibat pandemik Covid-19 ini bukan sahaja memberi kesan kepada golongan B40, ia juga memberi impak besar kepada semua pihak sama ada M40, T20, pengusaha kecil dan sederhana bahkan syarikat besar termasuk yang tersenarai di Bursa Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menginsafi peningkatan kes positif Covid-19 dalam keadaan ekonomi negara yang semakin meruncing, beliau menyeru semua parti politik berganding bahu menyelesaikan isu rakyat.
“Sama ada Umno, PAS mahupun PPBM untuk bersama-sama berganding bahu dalam menyelesaikan isu rakyat dan meringankan beban rakyat pada waktu sukar ini,” katanya.
Semalam Umno mengumumkan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang susah akibat hambatan ekonomi dapat diutamakan.
Perkembangan itu di sebalik perselisihan antara pemimpin Umno dan PPBM, yang membawa kepada Umno mempertimbangkan semula sokongannya kepada PN.