
Dalam temu bual bersama TV AlHijrah, Khairuddin berkata, syarikat yang dituduh menggunakan buruh paksa bagi kedua-dua industri itu telah mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Ini termasuk membayar semula fi berkaitan pekerjaan kepada pekerja asing.
Khairuddin berkata, buat masa ini sebagai majikan, banyak syarikat melaksanakan dasar membayar semua kos berkaitan, bukannya pekerja.
Beliau juga berkata, kementeriannya melaksanakan kajian mengenai isu buruh dalam industri kelapa sawit dan mendapati masalah yang timbul itu hanya pada kadar minimum 0.8%.
“Menurut kajian kita, memang berlaku isu-isu melibatkan buruh paksa dan kebanyakannya melibatkan kawasan berdekatan sempadan Sabah dan Sarawak.
“Saya telah bawa hasil kajian ke Kabinet pada Mei yang lalu dan tujuannya untuk kita terbitkan kajian kita untuk dihantar kepada ILO (Organisasi Buruh Antarabangsa) dan Jabatan Buruh AS,” katanya.
Terdahulu, pihak berkuasa AS menyekat minyak sawit dari FGV Holdings dan sarung tangan getah dari Malaysia atas dakwaan mengamalkan buruh paksa.
FGV Holdings berkata, syarikat itu komited terhadap hak dan kebajikan pekerjanya dan telah mengambil langkah untuk memperbetulkan keadaan itu.
Khairuddin berkata, kerajaan juga menetapkan dasar untuk menangani isu buruh selepas tuduhan itu kali pertama timbul 5 tahun lalu.
“Kita juga ada satu konsep akreditasi yang dipanggil Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang menetapkan bahawa semua pemain industri ini tidak boleh melakukan sebarang perkara yang dipanggil buruh paksa.
“Kalau ada syarikat yang terlibat, maka secara automatik akan gagal untuk dapat sijil MSPO,” katanya.
Beliau juga berkata kerajaan menumpu perhatian pada usaha mempromosi produk minyak sawit di benua Afrika kerana jumlah populasinya yang besar.
“Kita berhadapan pelbagai kempen. Eropah berkempen tolak kelapa sawit kita, Amerika Syarikat pula berkempen isu buruh paksa.
“Di samping kita menegaskan dasar kerajaan dalam perkara ini, pada masa yang sama, kita juga tidak berhenti setakat pasaran yang sedia ada. Kita pergi kepada pasaran baru yang memerlukan sawit kita seperti Afrika.”