
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) ke atas 3,262 individu membabitkan tahanan dan kakitangan, berkuat kuasa tengah malam ini hingga 4 November.
Kawalan ketat itu bagi memudahkan pelaksanaan saringan Covid-19 dan membolehkan pergerakan keluar masuk dikawal.
“Jumlah keseluruhan individu terlibat seramai 3,262 merangkumi banduan (2,110), staf penjara dan keluarga yang mendiami kuarters (1,000), staf penjara yang tidak mendiami kuarters (120) dan kakitangan awam (32).
“Tahanan yang akan dibebaskan dalam tempoh PKPD diasingkan dan dikuarantin di tempat diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pulau Pinang iaitu di Institut Latihan Kecemerlangan Mara (MEC), daerah Seberang Perai Selatan sehingga tamat tempoh kuarantin,” katanya pada sidang media hari ini.
PKPD PPR Taman Harmoni
Sementara itu, Ismail turut memaklumkan pelaksanaan PKPD kepada ribuan penghuni PPR Taman Harmoni, Sandakan, susulan peningkatan jangkitan selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) bermula 23 Oktober hingga 5 November.
Katanya, kawalan itu membabitkan 870 unit rumah merangkumi 4,481 penduduk.
“Semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar dari rumah masing-masing, kecuali mereka yang mempunyai kes kecemasan.
“Bekalan keperluan makanan akan diagihkan oleh kerajaan negeri yang akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri,” katanya.