Kes boleh meningkat 4 digit jika kadar jangkitan tak turun, kata Noor Hisham

Kes boleh meningkat 4 digit jika kadar jangkitan tak turun, kata Noor Hisham

Beliau berkata jika nilai R0 semasa 1.5 tidak diturunkan negara mungkin menyaksikan kenaikan kes pada 31 Oktober.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berharap dapat menurunkan nilai kadar jangkitan bawah 1 dengan meningkatkan kesihatan awam seperti dilakukan di Kedah.
PUTRAJAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) memberi amaran negara mungkin mengalami kenaikan 4 digit kes Covid-19 akhir bulan ini jika nilai kebolehjangkitan (Ro) tidak menurun.

Ro (R naught) digunakan untuk mengira kelajuan penularan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, nilai Ro pada masa ini 1.5 mesti diturunkan.

“Kami memulakan (gelombang ke-3 Covid-19) dengan 2.2, tetapi hari ini jika anda mengikuti lekukannya adalah 1.5.

“(Itu) tidak cukup baik. Sekiranya anda meneruskan 1.5, status quo, ini bermakna pada 31 Oktober kita akan mendapat 4 digit (bagi kes),” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata KKM berharap dapat menurunkan nilai kadar jangkitan bawah 1 dengan meningkatkan kesihatan awam seperti dilakukan di Kedah.

Beliau berkata, KKM menggerakkan 796 kakitangan kesihatan ke Sabah dan menerima lebih 5,000 permohonan daripada sukarelawan setakat ini.

“Kami telah menyenarai pendek 300 daripadanya. Kami akan menemuramah mereka dan memastikan kami dapat meneruskan proses ini untuk jangka panjang, mungkin 2 hingga 3 di Sabah,” katanya.

Noor Hisham turut menyeru orang ramai memainkan peranan mereka dengan tinggal di rumah supaya membantu membendung penyebaran virus dan menurunkan kadar infeksi.

Semalam, KKM berjaya menurunkan nilai Ro Covid-19 daripada 2.2 pada permulaan gelombang ke-3, 20 September lalu kepada 1.5 dalam masa 4 minggu, walaupun kes positif terus melonjak.

Noor Hisham berkata, gelombang ke-3 Covid-19 lebih mencabar walaupun negara lebih bersedia dari segi kapasiti dan tindakan kesihatan awam.

Katanya, penurunan Ro itu menunjukkan usaha KKM terbukti berkesan melawan virus itu.

Ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) mula dilaksanakan 18 Mac lalu, nilai Ro ialah 3.5.

Ia berjaya diturunkan sehingga 0.3, susulan impak positif tindakan diambil kerajaan serta pematuhan SOP oleh rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.