
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Huzir Mohamed berkata, semua pihak digesa memberi ruang kepada polis agar dapat menjalankan siasatan secara telus dan adil.
“Tindakan tegas bakal diambil terhadap mereka yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Huzir berkata, Anwar semalam hadir bersama-sama peguam Ramkarpal Singh Deo dan setiausaha politik beliau, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, untuk memberi keterangan berhubung penyebaran senarai nama 121 ahli Parlimen dalam portal MH Daily yang menyokongnya.

“Siasatan diklasifikasikan di bawah Sekyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta KOmunikasi dan Multimedia 1998.”
Katanya sehingga kini, sebanyak 113 laporan polis diterima, termasuk aduan daripada kalangan ahli Parlimen yang menafikan memberi sokongan.
“Dakwaan tersebut tersebar luas di media massa hingga mencetuskan pelbagai spekulasi tidak sihat.
“Penyebaran kenyataan di laman sesawang dilakukan dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam atau golongan awam supaya terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap negara atau kententeraman awam,” katanya.
Selain keterangan melibatkan penyebaran senarai nama itu, polis turut merakam percakapan bagi 5 kes lain, iaitu isu kenyataan bahawa kerajaan kepimpinan perdana menteri telah jatuh atau kekurangan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat; kes liwat dan akuan bersumpah oleh Aidil Azim Abu Adam; video ucapan mengatakan kedai judi beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan; video ucapan mendakwa terdapat 6.7 juta warga asing berada dalam Malaysia dan sidang media penyerahan dokumen sahih kepda kebawah Yang di-Pertuan Agong.
Dalam sidang media di Bukit Aman semalam, ketua pembangkang itu berkat,a sebarang keputusan untuk mendedahkan nama semua 121 ahli Parlimen yang menyokongnya terletak di tangan beliau.
Beliau berkata, bukan kuasa polis, ahli politik atau Menteri Dalam Negeri (Hamzah Zainuddin) untuk memaksa beliau mendedahkan nama ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepadanya.
“Terserah kepada diri saya selaku presiden parti dan ia adalah keputusan saya untuk mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, bukan keputusan polis, ahli politik atau menteri dalam negeri,” katanya.
Anwar dilaporkan masuk ke Bukit Aman sekitar jam 3 petang sebelum keluar semula kira-kira jam 5.10 petang semalam.