Polis kesan lebih 80,000 akaun keldai diguna untuk penipuan dalam talian

Polis kesan lebih 80,000 akaun keldai diguna untuk penipuan dalam talian

Sindiket memperdaya mangsa menyebabkan mereka sanggup 'meminjamkan' kad ATM dan nombor pin dengan bayaran antara RM200 hingga RM2,000 setiap transaksi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Zainuddin Yaacob berkata, pada tahun lepas, sebanyak 18,130 akaun keldai disita dan dibekukan.
KUALA LUMPUR:
Lebih 80,000 akaun keldai milik individu yang membenarkan sindiket menggunakannya bagi aktiviti penipuan dalam talian dikesan dari 1 Jan 2019 hingga 9 Okt lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Zainuddin Yaacob berkata, akaun keldai merujuk kepada akaun yang dibenarkan atau diberikan oleh pemiliknya kepada sindiket untuk digunakan pihak ke-3 tanpa mengetahui tujuan sebenar penggunaan akaun itu.

Menurut beliau, sindiket imemperdaya mangsa menyebabkan mereka sanggup “meminjamkan” kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan nombor pin dengan bayaran antara RM200 hingga RM2,000 bagi setiap transaksi.

“Modus operandi sindiket ini untuk mendapatkan akaun berkenaan adalah melalui tawaran iklan di media sosial atau ditawarkan melalui rakan dengan jumlah bayaran tertentu.

“Antara alasan yang digunakan adalah untuk tujuan perniagaan dan sebagainya yang sasaran mereka terdiri daripada golongan yang memerlukan seperti penagih dadah, suri rumah dan pelajar,” katanya baru-baru ini.

Jelasnya lagi, dalam kes tertentu ada juga individu yang membuat pinjaman wang daripada “along” yang kemudiannya diarahkan untuk memberikan kad ATM dan nombor pin sebagai syarat untuk pembayaran semula.

Zainuddin berkata, pada tahun lepas, sebanyak 18,130 akaun keldai disita dan dibekukan, manakala tahun ini sehingga 9 Okt lepas, sebanyak 16,429 akaun juga diambil tindakan yang sama.

” 6,409 pemilik akaun itu didakwa pada tahun lepas dan seramai 3,176 orang dituduh setakat 9 Okt tahun ini.

“Mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 412 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana memiliki harta curi,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan pemilik akaun ini tidak menyedari akaun mereka digunakan sindiket, namun ada antara mereka yang sengaja memberikan nombor akaun untuk tujuan penipuan dalam talian.

Zainuddin berkata, perkara itu jelas melanggar undang-undang dan boleh dikenakan tindakan. Jika didapati bersalah mereka boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 5 tahun serta denda atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya lagi, polis sentiasa bekerjasama erat dengan institusi kewangan dan telekomunikasi serta penguat kuasa luar negara bagi membanteras dan mencari penyelesaian terbaik untuk kes komersial khususnya jenayah siber.

Beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa membuat rujukan dengan bank berkaitan, serta portal kendalian polis iaitu ccid.rmp.gov.my/semakmule atau laman sosial rasmi polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.