Latihan di padang, pusat futsal, gimnasium dibenarkan di kawasan PKPB

Latihan di padang, pusat futsal, gimnasium dibenarkan di kawasan PKPB

Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP terperinci akan diumumkan Kementerian Belia dan Sukan dalam masa terdekat.

Ismail Sabri Yaakob berkata, latihan di padang bola sepak komersial dan pusat futsal terhad kepada 10 peserta pada satu-satu masa. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan aktiviti sukan di gimnasium, latihan di padang bola komersial dan pusat futsal di kawasan dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dibenarkan mulai Isnin ini.

Beliau bagaimanapun berkata, ia tidak membabitkan pertandingan di padang bola dan pusat futsal serta orang ramai perlu mematuhi SOP ketat.

“Memandangkan aktiviti di gimnasium dilaksanakan secara individu dengan penjarakan fizikal, maka (kerajaan) bersetuju membenarkan gimnasium beroperasi seperti biasa dengan SOP ketat yang ditetapkan sebelum ini.

“Aktiviti di padang bola sepak komersial dan pusat futsal turut dibenarkan, tetapi hanya bagi tujuan latihan saja dan terhad kepada 10 orang peserta pada satu-satu masa,” katanya pada sidang media hari ini yang disiarkan di Facebook.

Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, SOP terperinci akan diumumkan Kementerian Belia dan Sukan dalam masa terdekat.

Mengenai peraturan yang membenarkan hanya 2 orang dalam sebuah kenderaan, Ismail berkata, jika penumpang itu daripada keluarga sama atau tinggal bersama, mereka boleh meminta polis mengeluarkan surat untuk menambah jumlah penumpang.

Peraturan itu hanya terpakai kepada mereka yang pergi ke tempat kerja dalam jarak 30km dari rumah mereka.

Sementara itu, Ismail berkata, 467 individu ditahan kerana mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) semalam.

Daripada jumlah itu, 460 orang dikompaun, 6 direman dan seorang dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP ialah tidak memakai pelitup muka (182), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (110), penjarakan fizikal (106), premis beroperasi lebih masa (5) dan lain-lain (64).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.