
Setakat ini, Barisan Nasional, Pakatan Harapan Sabah dan Parti Cinta Sabah sudah mengumumkan mereka tidak akan bertanding kerusi Parlimen itu.
Timbalan Ketua PPBM Sabah, Masidi Manjun berkata, partinya terlalu sibuk untuk memikirkan PRK buat masa ini.
“Parti belum membincangkannya,” katanya kepada FMT.
Presiden PBS, Maximus Ongkili berkata, partinya juga belum membuat keputusan kerana sedang memikirkan beberapa isu, termasuk Covid-19.
“Kami akan membuat pengumuman apabila hampir tiba hari penamaan calon.”
PRK Batu Sapi akan diadakan pada 5 Dis, dengan penamaan calon pada 23 Nov yang disusuli pengundian awal pada 1 Dis.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya dari Warisan, Liew Vui Keong pada 2 Okt lalu.
Liew memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 4,619 undi, selepas menewaskan pencabar terdekat, Linda Tsen Thau Lin dari PBS yang mendapat 8,357 undi dalam pertembungan 4 penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Difahamkan, Warisan akan mempertahankan kerusi itu, walaupun tiada pengumuman rasmi daripada parti terbabit setakat ini.