Dewan Rakyat bersidang 27 hari mulai 2 Nov, Belanjawan 2021 dibentang 6 Nov

Dewan Rakyat bersidang 27 hari mulai 2 Nov, Belanjawan 2021 dibentang 6 Nov

Hanya 15 agensi media dibenarkan membuat liputan mesyuarat dan pembentangan Belanjawan 2021 mulai 2 Nov hingga 23 Dis ini.

Kakitangan agensi media yang dibenarkan membuat liputan di dalam Parlimen wajib menjalani swab Covid-19 pada 30 Okt dan menyerahkan keputusan ujian itu kepada petugas Parlimen pada 2 Nov.
PETALING JAYA:
Sesi akhir tahun Parlimen akan diadakan selama 34 hari mulai 2 Nov hingga 23 Dis ini, dengan Belanjawan 2021 dibentangkan pada 4 petang 6 Nov.

Dewan Rakyat akan bersidang mulai 2 Nov hingga 15 Dis, manakala Dewan Negara dari 14 hingga 23 Dis nanti. Kedua-dua dewan akan bersidang 4 hari seminggu.

Setiausaha Bahagian Komunikasi Korporat Dewan Rakyat, Mohd Nor Aswadi Md Nor berkata, hanya beberapa agensi media dibenarkan membuat liputan sepanjang mesyuarat dan pembentangan Belanjawan 2021 dalam usaha membendung penularan Covid-19 dan mematuhi SOP ditetapkan.

Sebanyak 15 agensi media dibenarkan memasuki kawasan Parlimen untuk membuat liputan, iaitu RTM, Bernama, Al-Hijrah, TV3, New Straits Times, Berita Harian, Astro Awani, Utusan, Sinar Harian, The Star, The Sun, Sin Chew Daily, Nanyang Siang Pau, Malaysia Nanban and saluran televisyen Singapura, Channel News Asia.

Tiada agensi media atas talian yang disenaraikan dalam senarai itu.

Aswadi berkata, kakitangan agensi media yang dibenarkan membuat liputan itu wajib menjalani swab Covid-19 pada 30 Okt dan menyerahkan keputusan ujian itu kepada petugas Parlimen pada 2 Nov.

“Ujian swab hendaklah dilakukan di hospital atau klinik yang diiktiraf KKM dan ditanggung agensi media masing-masing. Hanya petugas media yang mempunyai keputusan negatif saja dibenarkan masuk ke Kompleks Parlimen.”

Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun berkata, beliau menerima 30 usul daripada 25 ahli Parlimen setakat ini.

“Semua usul yang dikemukakan akan diteliti dan dipertimbang mengikut peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah dilaporkan mengemukakan usul tidak percaya yang baru terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Simpang Renggam,Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir turut mengemukakan usul sama.

Hari ini, Naib Presiden Amanah, Hasanuddin Mohd Yunus dilaporkan berkata, 11 ahli Parlimen parti itu turut memfailkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Katanya, usul itu dibuat atas kerelaan ahli Parlimen terbabit dan bukan atas arahan pucuk pimpinan parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.