Guru akan patuh pekeliling JPA berhubung PKPB, kata NUTP

Guru akan patuh pekeliling JPA berhubung PKPB, kata NUTP

Dalam pekeliling itu JPA berkata cadangan bekerja dari rumah boleh dipertimbangkan jika tugas diberikan kepada pegawai berkenaan tidak memerlukan kehadirannya di pejabat atau secara bergilir.

Sejumlah 2,797 sekolah di Lembah Klang, Putrajaya dan Sabah ditutup hingga 27 Oktober berikutan pelaksanaan PKPD.
PETALING JAYA:
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berkata guru akan terus mematuhi pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 2 Mei untuk bekerja dari rumah ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Pekeliling itu dikeluarkan kepada penjawat awam memandangkan PKPD di seluruh negara sebelum ini berkuat kuasa pada 4 Mei, susulan perintah kawalan secara keseluruhan yang berlangsung dari 18 Mac hingga 3 Mei.

Dalam pekeliling itu, JPA berkata cadangan bekerja dari rumah boleh dipertimbangkan jika tugas diberikan kepada pegawai berkenaan tidak memerlukan kehadirannya di pejabat atau secara bergilir.

“Ketua jabatan mempunyai hak untuk memutuskan sama ada membenarkan atau tidak guru bekerja dari rumah.

“Kami mementingkan keselamatan dan pendidikan pelajar. Kami tidak mahu masyarakat menganggap guru malas atau lari daripada tugas mereka,” kata Setiausaha Agung NUTP Harry Tan kepada FMT.

Sementara itu, sebuah kumpulan mewakili institusi pendidikan swasta berkata guru dan pensyarah yang tinggal di zon merah Covid-19 boleh memohon kebenaran daripada ketua jabatan mereka untuk bekerja dari rumah jika berisiko untuk ke tempat kerja.

Presiden Persatuan Kebangsaan Institusi-Institusi Pendidikan Swasta (Napei) Elajsolan VM Mohan berkata, sekolah atau institusi harus memahami kebimbangan tenaga pengajar mereka.

“Betul, ada surat kebenaran disediakan kepada mereka tetapi ia tertakluk kepada guru untuk memutuskan jika mereka mahu bekerja dari rumah,” katanya kepada FMT.

Elajsolan berkata, guru dan pelajar kini sudah biasa dengan kaedah pembelajaran dalam talian susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) dikenakan pada Mac.

“Kalau sistem pembelajaran dalam talian sudah disediakan, ia sepatutnya tiada masalah,” katanya.

Sejumlah 2,797 sekolah di Lembah Klang, Putrajaya dan Sabah ditutup bermula semalam hingga 27 Oktober berikutan pelaksanaan PKPD.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.