Bekas pembantu Mat Sabu berdepan 5 pertuduhan rasuah

Bekas pembantu Mat Sabu berdepan 5 pertuduhan rasuah

Bekas setiausaha politik itu didakwa terlibat dengan kes rasuah bagi tender projek kementerian bernilai RM5 juta.

Bekas setiausaha politik kepada bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu, Mohd Azhar Che Mat Dali dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Bekas setiausaha politik Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 5 pertuduhan rasuah melibatkan projek Kementerian Pertahanan bernilai RM6.35 juta.

Mohd Azhar Che Mat Dali didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana meminta RM5 juta dan menerima rasuah RM1.35 juta daripada pengarah syarikat, FEHM Entity Sdn Bhd, Elias Jemadi Tajudin untuk membantunya menjadi rakan kongsi strategik dan kontraktor bagi projek penyelenggaraan peranti perisik kementerian terbabit.

Dia dituduh atas jawatannya sebelum ini sebagai setiausaha politik Mohamad, lebih dikenali sebagai Mat Sabu, yang merupakan menteri pertahanan pada ketika itu.

Azhar didakwa menerima wang terbabit daripada 2 individu, iaitu Ahmad Hisham Mohd Tajuddin and Zainuddin Abdul Majid.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di pelbagai lokasi di pusat bandar dan Putrajaya antara 22 Julai 2019 dan Februari tahun ini.
Jika sabit kesalahan, Azhar berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan.

Hakim Azura Alwi membenarkan wang jaminan RM300,000 kepada Azhar dan menetapkan 26 November sebagai tarikh sebutan seterusnya.

Mahkamah juga membenarkannya menjelaskan separuh daripada jumlah jaminan hari ini dan baki jumlahnya pada Khamis depan selepas peguam Azhar, Ariff Azami Hussein membuat permohonan.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya Mahadi Abdul Jumaat memberitahu mahkamah mereka memohon jaminan RM500,000 ke atas Azhar dengan alasan kesalahan itu adalah serius.

“Kami juga memohon supaya mahkamah mengenakan syarat tambahan jaminan, seperti tertuduh melapor kepada ibu pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan, menyerahkan pasportnya dan tidak mengganggu saksi pendakwaan,” katanya.

Katanya, Azhar akan berdepan lebih banyak pertuduhan minggu depan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Ariff, dalam permohonanmeminta jaminan dikurangkan, berkata, jumlah yang diminta oleh pihak pendakwaan adalah melampau dan tidak ada kemungkinan Azhar melarikan diri ketika sempadan negara ditutup.

“Saya harap mahkamah boleh mempertimbangkan fakta bahawa tertuduh tidak bekerja sejak Februari dan dia perlu menyara isteri, 7 anak dan ibu mertuanya.

“Jumlah jaminan tidak akan menjadi denda terhadap Azhar,” katanya.
Tambahnya, dakwaan mengatakan Azhar mengganggu saksi pendakwaan tidak wujud kerana tertuduh telah keluar dari Kementerian Pertahanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.