
Setiausaha Politiknya, Mohd Lokman Ghani berkata, pertemuan itu atas perkenan Sultan Abdullah untuk mendapatkan pandangan veteran Umno itu mengenai situasi semasa politik negara.
“Semalam, Yang di-Pertuan Agong menitahkan Tengku Razaleigh menghadap di Istana Negara, kemudian baru beliau pergi. Perbincangan itu melibatkan 4 mata untuk Tengku Razaleigh beri pandangan, sekadar itu saja yang saya tahu.
“Tengku Razaleigh dipanggil menghadap atas kapasiti individu yang paling berpengalaman, paling matang, lama dalam politik dan individu yang pernah bekerja dengan semua perdana menteri,” katanya kepada Bernama.
Lokman berkata, pertemuan itu tiada kena-mengena dengan kedudukan Tengku Razaleigh, 83, yang lebih dikenali sebagai Ku Li sebagai pengerusi Jemaah Penasihat Umno mahupun sebagai wakil parti itu.
Semalam, kenderaan yang membawa Tengku Razaleigh, dilihat keluar dari Istana Negara pada 2.40 petang selepas ketua pembangkang, Anwar Ibrahim menghadap Sultan Abdullah pada sebelah pagi.
Anwar menghadap Agong di Istana Negara untuk menyembah maklum beliau mempunyai sokongan lebih 120 ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baru.