Pastikan pemandu ada surat kebenaran, kata LPKP Sabah

Pastikan pemandu ada surat kebenaran, kata LPKP Sabah

Surat kebenaran daripada majikan yang disokong serta diluluskan polis perlu dikemukakan semasa sekatan jalan raya.

Setiap pergerakan kenderaan berkaitan perkhidmatan perlu mesti menunjukkan dokumen kebenaran perjalanan kepada pihak berkuasa yang melakukan sekatan jalan raya.
KOTA KINABALU:
Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaaan Perdagangan (LPKP) Sabah Chin Kim Hiung menasihatkan semua pemilik dan pengendali perkhidmatan perlu, supaya memastikan pemandu mereka mempunyai dokumen diperlukan bagi membolehkan perjalanan rentas daerah sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di negeri itu.

Katanya, PKPB di seluruh Sabah yang bermula hari ini hingga 26 Oktober memerlukan setiap pergerakan kenderaan berkaitan perkhidmatan perlu mesti menunjukkan dokumen kebenaran perjalanan kepada pihak berkuasa yang melakukan sekatan jalan raya.

“Pemandu berkenaan haruslah mempunyai surat yang dikeluarkan oleh majikan, syarikat atau agensi yang menyatakan tarikh serta tempoh perjalanan, barangan yang akan dihantar oleh mereka serta senarai individu yang berada dalam kenderaan digunakan.

“Surat kebenaran rentas daerah terbabit juga mestilah mendapat sokongan serta kelulusan polis,’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Chin berkata, mereka yang melakukan perjalanan rentas daerah juga tidak dibenarkan berhenti di pusat rehat dan rekreasi atau bermalam di kawasan yang diisytiharkan sebagai zon merah Covid-19.

“Mereka (pemandu kenderaan perkhidmatan perlu) hanya boleh berhenti di lokasi dinyatakan dalam surat dibawa,” katanya.

Beliau berkata, semua pengangkutan awam kecuali teksi dan perkhidmatan pengangkutan e-panggilan juga tidak dibenarkan beroperasi bermula hari ini hingga 26 Oktober.

“Teksi dan kenderaan e-panggilan hanya dibenarkan beroperasi di kawasan daerah masing-masing manakala kenderaan pengangkutan awam lain seperti bas henti-henti, bas ekspres dan kenderaan catar buat sementara tidak dibenarkan beroperasi.

“Bagaimanapun bagi kenderaan perkhidmatan penghantaran makanan, mereka dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 6 petang, sepanjang tempoh 2 minggu ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.