
Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly berkata, Zahid mengetahui mengenai perkara tersebut kerana presiden Umno itu yang memberikan kebenaran.
“Zahid juga tidak pernah menarik balik arahan (guna cek Yayasan Akalbudi bayar kad kredit) tersebut.
“Setiap kali saya ajukan (kepada Zahid) cek (Yayasan Akalbudi) saya akan beri sekali penyata pembayaran,” katanya ketika menjawab soalan timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran semasa pemeriksaan semula yang merujuk jawapan Mazlina ketika ditanya pembelaan bahawa beliau menyorok penyata kad kredit dan bank daripada Zahid.
Beliau berkata demikian pada hari ke-43 perbicaraan kes Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit daripada dana Yayasan Akalbudi.
Ketika ditanya oleh Raja Rozela, sama ada atau tidak lain-lain dokumen yang ditunjukkan kepada Zahid atau disemaknya, saksi menjawab “ada, buku cek Maybank Yayasan Akalbudi”.
Saksi pendakwaan ke-90 itu juga berkata Zahid tidak pernah menyatakan apa-apa semasa menyemak kaki cek pada buku cek Maybank Yayasan Akalbudi.
Ketika ditanya oleh timbalan pendakwa raya Lee Keng Fatt mengenai purata jumlah wang yang terdapat dalam akaun Yayasan Akalbudi antara Jun 2016 sehingga beliau (Mazlina) tidak lagi berkhidmat sebagai setiausaha eksekutif pada 2018, Mazlina menjawab “anggaran sebulan dalam ratusan ribu ke juta.”
Lee: Ada tunjuk penyata bank kepada Zahid?
Mazlina: Ada
Lee: Berapa kerap?
Mazlina: Zahid akan buat ‘spot check’ (pemeriksaan mengejut) dalam setahun 1 atau 2 kali.
Zahid, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, 8 rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.