
Yang Dipertua DPMM Sabah Awang Sham Amit berkata, kerajaan melalui Kementerian Kewangan juga perlu memastikan semua institusi perbankan dan syarikat pemberi pinjaman kewangan berlesen mematuhi arahan berkenaan.
“Pemberian penyambungan terus moratorium pembayaran pinjaman sehingga Disember 2020 sudah pasti memberikan kelegaan kepada PKS yang terjejas teruk dengan penutupan premis perniagaan dan terpaksa menanggung kos perbelanjaan bulanan dengan pendapatan yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Awang Sham berkata, saranan oleh DPMM itu perlu diberi perhatian kerana kes Covid-19 di Sabah meningkat secara mendadak dan sebanyak 12 daerah di Sabah diisytiharkan sebagai zon merah dan kini berada dalam perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
“DPMM Sabah menyambut baik pengumuman yang dibuat perdana menteri untuk memberikan lanjutan moratorium secara bersasar selama 3 bulan kepada individu yang terjejas akibat penularan Covid-19 dengan membuat permohonan dengan institusi perbankan.
“Kita mencadangkan agar penyambungan terus moratorium itu dapat dilaksanakan tanpa memohon, khususnya kepada PKS di Sabah,” tambahnya.