
Kumpulan itu mendakwa kebanyakan kesalahan dilakukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan Plus.
Ia mendakwa terdapat 59 kesalahan pilihan raya dilakukan hampir semua parti dan calon.
Katanya, 22 kesalahan dilakukan Warisan Plus dan GRS 18. Manakala, 19 kesalahan dilakukan parti lain dan calon lain.
Pemerhati Bersih 2.0 turut mendakwa, terdapat laporan Warisan Plus dan GRS memberikan RM100 kepada penduduk Kampung Tinusa di Sandakan.
Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann berkata, laporan itu bagaimanapun tidak menyeluruh kerana mereka hanya mempunyai 26 pemerhati pilihan raya iaitu 24 daripada 73 kerusi pada PRN Sabah.
“Ini hanya pensampelan tetapi ia agak jelas politik wang masih menjadi ciri utama pada PRN Sabah,” katanya.
Fann berkata, terdapat keadaan “tidak menghormati undang-undang pilihan raya” dalam kalangan parti utama dan tempatan.
Beliau berkata, ada juga orang yang berkempen mendirikan “pondok panas” berhampiran pusat mengundi dan Bersih 2.0 mengesyaki ia didirikan untuk mengagihkan wang kepada pengundi.
Fann berkata, beliau turut menyaksikan “pondok panas” Perikatan Nasional (PN) mengedar kad pengundi rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada pengundi di pusat mengundi SK Bingkor di Keningau.
“Pengundi yang datang mengundi akan pergi ke ‘pondok panas’ PN untuk mendapatkan kad pengundi SPR. Selepas mengambilnya, sukarelawan PN akan mencatatkan saluran mengundi mereka di atas sekeping kertas kecil yang mempunyai logo PN,” katanya.
Beliau mendesak SPR menyiasat insiden itu kerana memberi tanggapan SPR menyokong PN di kawasan pilihan raya berkenaan.
Pemerhati Bersih 2.0 turut melaporkan penyalahgunaan sumber kerajaan bagi tujuan kempen.
Katanya, sebagai contoh susulan pembubaran DUN, ketua menteri Shafie Apdal daripada Warisan Plus, mengumumkan pemberian geran tanah di beberapa daerah.
Shafie juga mengumumkan pengecualian sewa bagi lot “pasar tamu”.
Walaupun pengumuman itu dibuat sebelum tarikh rasmi berkempen, pemerhati pilihan raya akan memantau sebarang kesalahan serta-merta selepas pembubaran DUN.
Bersih 2.0 menyeru orang ramai yang menerima wang untuk mengundi tampil dan membuat laporan polis.
Fann berkata, beliau akan menghantar laporan siasatan Bersih 2.0 kepada SPR hari ini.
Bagaimanapun, pengerusi Bersih 2.0 itu menyatakan masih tiada tindakan diambil oleh polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap laporan dibuat pemerhati atau orang awam pada pilihan raya kecil sebelumnya.
Timbalan Pengerusi SPR Azmi Sharom ketika dihubungi berkata, kad pengundi dipos ke alamat setiap pengundi.
“Saya tidak tahu bagaimana PN boleh mendapatkannya. Saya tidak ada komen sehingga SPR melakukan siasatan,” katanya.