
Persatuan Kesejahteraan Haiwan PAWS dan Persatuan Peluang Kedua Haiwan menyaksikan penurunan jumlah pengambilan haiwan, sumbangan, dan sukarelawan sejak 8 bulan lalu.
Pengurus PAWS, Edward Lim, beritahu FMT walaupun kadar pembuangan haiwan peliharaan tidak meningkat, pihaknya tidak mampu lagi terima haiwan terbiar kerana ruang tidak mencukupi.
“Kita dapati semakin sukar untuk menempatkan haiwan di rumah baharu dan sumbangan juga menurun. Sebelum ini pun belanjawan kami cukup-cukup sahaja tapi sekarang kami dah guna simpanan.”
Jumlah pengambilan haiwan di PAWS menurun sebanyak 30% hingga 40% dalam beberapa bulan lalu, dengan tempat perlindungan hilang sumbangan sebanyak RM70,000 ketika fasa pertama perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Kami berterima kasih atas subsidi kerajaan untuk upah dan gaji. Banyak ahli Parlimen juga membantu dan menyumbang sejumlah wang, tetapi mereka juga berdepan kesukaran jadi kita manfaatkan sebaik mungkin apa yang ada buat masa sekarang.”
Kim Yeoh, presiden Persatuan Peluang Kedua Haiwan, berkata pusat perlindungan itu bergelut mencari dana dan tenaga kerja selain tidak dapat menjalankan kempen pengambilan haiwan secara mingguan dan bulanan, yang digunakan untuk mendidik masyarakat tentang pentingnya pemandulan haiwan.
Yeoh berkata banyak warga asing yang pulang ke negara asal meninggalkan haiwan peliharaan di pusat perlindungan.
Namun, beberapa pusat perlindungan seperti My Pets Haven yang melaporkan peningkatan pengambilan haiwan sejak PKP.

Pengasasnya, Aileen Lee, memaklumkan pusat perlindungannya terima lebih banyak pertanyaan mengenai pengambila haiwan walaupun ekonomi tidak baik.
Beliau merasakan ia mungkin kerana lebih ramai orang bekerja di rumah dan mahu ditemani haiwan.
Lee berkata pusat perlindungannya masih terima sukarelawan, namun kebanyakan mereka memilih untuk membantu dari jauh, seperti menguruskan media sosial atau menjual biskut untuk mengumpulkan dana secara dalam talian.
“Kita bimbang keadaan mungkin jadi lebih sukar kerana kes (Covid-19) meningkat di Selangor. Tetapi selagi semua orang di pusat perlindungan patuh SOP, kita semua selamat.”