Hospital Kota Marudu kini turut rawat Covid-19, kata KP Kesihatan

Hospital Kota Marudu kini turut rawat Covid-19, kata KP Kesihatan

Ini menjadikan keseluruhan 7 hospital di Sabah diperuntuk untuk merawat Covid kategori 3 hingga 5.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM juga mengenal pasti 6 lagi pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC) di Sabah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi peningkatan kes Covid-19 di Sabah, Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan Hospital Kota Marudu sebagai 1 lagi hospital untuk merawat jangkitan itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, ini menjadikan keseluruhan 7 hospital termasuk Hospital Queen Elizabeth, Hospital Wanita dan Kanak-kanak di Kota Kinabalu; Hospital Duchess of Kent di Sandakan; Hospital Tawau; Hospital Lahad Datu dan Hospital Keningau.

Semua hospital ini dengan kapasiti keseluruhan 946 katil termasuk 66 untuk jagaan kritikal dan 170 alat bantuan pernafasan, diperuntuk merawat kes Covid kategori 3 hingga 5, katanya menerusi hantaran Facebook beliau hari ini.

Hisham berkata KKM juga mengenal pasti 6 lagi pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC), menjadikan jumlah keseluruhan 16 buah dengan kapasiti 3,876 katil bagi merawat kes tidak bergejala atau bergejala ringan (kategori 1 dan 2) di negeri itu.

Tambahan kemudahan itu menjadikan kapasiti katil bagi merawat pesakit Covid-19 di Sabah kini sebanyak 4,822 berbanding 2,596 katil sebelum ini, katanya.

Menurut beliau, sebagai langkah kesiapsiagaan hospital di pantai timur Sabah pula, KKM dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia bercadang mewujudkan hospital medan bagi menawarkan perkhidmatan obstetrik dan ginekologi, pediatrik serta pembedahan am kepada pesakit bukan kes Covid-19.

“Ini akan memberi lebih banyak ruang kepada Hospital Tawau untuk merawat kes Covid-19 kategori 3 hingga 5, manakala kes kategori 1 dan 2 akan terus ditempatkan di PKRC,” katanya.

Beliau berkata untuk peringkat awal, hospital medan itu dirancang menyediakan 100 katil.

Setakat semalam, Sabah mencatatkan 3,841 kes Covid-19 dengan 11 zon merah iaitu Kota Belud, Tuaran, Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Papar, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau selain merekodkan 19 kluster.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.