
Ketua Polis Labuan, Muhamad Farid Ahmad, berkata individu itu didakwa menghantar pesanan ringkas pada 4.30 petang 8 Okt yang kemudian tular, antaranya menyebut kawasan yang dijangkiti ialah Pasaraya Savemore dan sekitarnya, Pasaraya Milimewa, Klinik Dr Tan dan mesin juruwang (ATM) Maybank di Lapangan Terbang Labuan.
“Kami menerima laporan daripada pengurus Savemore mengenai berita palsu yang diterimanya melalui mesej di aplikasi WhatsApp. Beliau membuat laporan itu selepas menimbangkan kesannya ke atas perniagaan,” katanya hari ini.
Farid berkata mesej yang tidak disahkan itu dihantar kepada orang ramai sehingga mengganggu ketenteraman awam dan boleh disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.