
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata PATI yang baru ditahan akan ditempatkan di pusat kuarantin transit itu untuk saringan.
PATI yang didapati positif akan dihantar ke hospital manakala yang negatif akan dikuarantin 14 hari sebelum ke depot tahanan.
Katanya, kerajaan hari ini bersetuju meluluskan pusat kuarantin transit di Dewan Masyarakat Menggatal dan Dewan Masyarakat Pekan Kinarut di Kota Kinabalu; dan Dewan Sibuga Batu 5 dan Dewan Sri Gum-Gum Batu 16 di Sandakan.
“Semua tahanan PATI baru ini akan menjalani saringan swab test di pusat kuarantin transit PATI yang ditetapkan ini,” katanya pada sidang media hari ini.
Sementara itu, tentera akan mengaktifkan hospital medan di Tawau bagi menyokong rawatan kes bukan Covid-19, serta pembedahan trauma dan kecemasan, dan bersalin,” katanya.
Perkembangan ini selepas Kementerian Kesihatan memaklumkan keperluan menambah fasiliti perubatan bagi menangani situasi di Sabah, berdasarkan jangkaan peningkatan kes Covid-19.
“Hospital ini mempunyai 100 katil pelbagai wad dengan kekuatan seramai 8 pegawai perubatan dan 54 lain-lain pangkat terdiri daripada 1 komander, 5 doktor pakar, 3 pegawai perubatan, dan lain-lain kakitangan,” katanya.
Tentera udara juga akan melaksanakan penerbangan harian ke Sabah bagi membantu urusan logistik kementerian seperti membawa kakitangan perubatan dan sampel saringan.
Sementara itu, Ismail juga melaporkan sebanyak 450 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan pihak berkuasa termasuk gagal memakai pelitup, di hari ke-207 PKP.
Ops Benteng pula melaporkan penahanan 49 PATI, dan rampasan sebuah bot dan 3 kenderaan darat.