70 Adun, 4 Adun lantikan Sabah angkat sumpah hari ini

70 Adun, 4 Adun lantikan Sabah angkat sumpah hari ini

Ketua Menteri Hajiji Noor yang juga Adun Sulaman tidak hadir majlis angkat sumpah itu kerana menjalani kuarantin kendiri bermula semalam selepas terdedah individu positif Covid-19.

Adun Sabah mengaminkan doa sebelum mengangkat sumpah jawatan di DUN hari ini. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Seramai 70 daripada keseluruhan 73 Adun Sabah hari ini mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua DUN Sabah Kadzim Yahya.

Majlis angkat sumpah itu diadakan di Bangunan DUN selepas Adun berkenaan memenangi kerusi DUN masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September lalu. Turut mengangkat sumpah pada majlis sama, 4 daripada 6 Adun yang dilantik.

Upacara angkat sumpah itu didahului Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin yang juga Adun Lamag diikuti 2 lagi Timbalan Ketua Menteri iaitu Adun Tambunan Jeffrey Kitingan dan Adun Kundasang Joachim Gunsalam.

Presiden Warisan Shafie Apdal yang juga bekas ketua menteri Sabah turut mengangkat sumpah sebagai Adun Senallang.

Empat Adun dilantik yang mengangkat sumpah hari ini ialah Setiausaha PAS Sabah Aliakbar Gulasan menjadi wakil PAS pertama mengangkat sumpah sebagai Adun, Bendahari UMNO Sabah Suhaimi Nasir, bekas ahli Parlimen Tenom Raime Unggi dan bekas Adun lantikan kerajaan negeri terdahulu Jaffari Waliam.

Ketua Menteri Hajiji Noor juga Adun Sulaman merupakan antara 3 Adun yang tidak hadir pada majlis angkat sumpah itu kerana sedang menjalani kuarantin kendiri selama 2 minggu bermula semalam selepas terdedah kepada individu didapati positif Covid-19.

Dua Adun lagi yang tidak hadir ialah Adun Sulabayan Jaujan Sambakong dan Adun Bugaya Manis Muka.

Sementara Adun yang dilantik tidak hadir Presiden SAPP Yong Teck Lee dan Naib Ketua Srikandi PPBM Sabah Amisah Yassin.

Pada PRN lalu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) memenangi 38 kerusi daripada 73 keseluruhan kerusi sekali gus berjaya membentuk kerajaan baharu.

Sementara Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, Upko, DAP, PKR dan Amanah hanya memenangi 32 kerusi.

Pada 29 September lalu, Hajiji yang juga Pengerusi PN Sabah mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah ke-16 di hadapan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.