
Teng Chang Khim berkata, kerajaan persekutuan tidak memberikan sebarang butiran kepada negeri itu, seperti kawasan tertentu yang terjejas.
Dalam catatan di Facebook, beliau berkata kerajaan Selangor meminta mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat negeri diadakan untuk membincangkan perincian PKPB, selepas ia diumumkan semalam.
Bagaimanapun, katanya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meminta Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan ketua menteri lain untuk menghadiri mesyuarat pada lewat petang.
“Ini mengganggu rancangan kerajaan negeri untuk mengadakan mesyuarat MKN peringkat negeri bagi menangani semua masalah yang boleh dijangka akibat pelaksanaan PKPB,” katanya.
Awal hari ini, Amirudin mengumumkan MKN akan mengambil alih dan memberikan perincian mengenai PKPB di Klang dan bukannya kerajaan Selangor.
Katanya, negeri itu sudah mengemukakan cadangan daripada pelbagai agensi dan jabatan di Klang pada pertemuan bersama MKN dan Muhyiddin, 11 pagi tadi.
“MKN bawah kerajaan persekutuan akan mengumumkan perincian PKPB di Klang dan kerajaan negeri akan bekerjasama sebaik mungkin dengan semua agensi bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus mengadakan saringan bersasar Covid-19 di zon merah sebagai langkah lanjutan mengawal penularan wabak itu.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPB akan dilaksanakan di Sandakan, Papar, Tuaran, di Sabah dan Klang, bermula esok.
Ismail berkata, kawasan dikenakan PKPB diklasifikasikan sebagai zon merah kerana mempunyai lebih 40 kes Covid-19.