PRK Batu Sapi tak sesuai tapi harus ikut Perlembagaan, kata pakar

PRK Batu Sapi tak sesuai tapi harus ikut Perlembagaan, kata pakar

Peguam berkata perlembagaan jelas menyatakan kerusi tidak boleh dibiarkan kosong kecuali darurat.

Prof Shad Saleem Faruqi (kiri) berkata hanya keadaan darurat membolehkan pilihan raya kecil (PRK) tidak dilaksanakan, sementara Andrew Khoo mengesyorkan Warisan dibenarkan menang tanpa bertanding.
PETALING JAYA:
Walaupun kes Covid-19 di Sabah membimbangkan, peguam berkata pilihan raya mesti diadakan sekiranya penyandang meninggal dunia, tetapi pakar kesihatan beri amaran SOP baharu harus dilaksanakan bagi mengekang wabak.

Ia susulan speaker Dewan Rakyat Azhar Harun berkata PRK perlu diadakan untuk kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah berikutan kematian ahli Parlimen Liew Vui Keong.

Pakar perlembagaan, Prof Shad Saleem Faruqi, beritahu FMT Perlembagaan jelas menyatakan PRK perlu diadakan apabila kerusi kosong kecuali semasa darurat.

“Perlembagaan mengatasi semua undang-undang lain melainkan ia digantung semasa darurat,” katanya, sambil menambah peraturan berkenaan darurat disebut bawah Perkara 150.

Perkara 150 menyatakan Agong boleh mengisytiharkan darurat sekiranya mendapati keselamatan, ekonomi, atau ketenteraman awam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, Perlembagaan menetapkan pilihan raya diadakan apabila kerusi kosong.

“Mesti dibuat. Baca bersama Perkara 54 dan Perkara 55 (3) mengatakan perlunya diadakan PRK,” katanya kepada FMT.

“SOP kesihatan yang ketat diperlukan tetapi dengan mekanisma mengundi baharu. Apa-apa pun, PRK suatu kemestian.”

Batu Sapi dimenangi Liew dari Warisan dengan majoriti 4,619 pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Liew meninggal dunia pada 2 Oktober, dan PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Suruhanjaya Pilihan Raya mengisytiharkan kekosongan kerusi.

Sementara itu, bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata walaupun tidak sesuai untuk mengadakan PRK ketika pandemik, namun, ia masih perlu dilakukan.

Justeru Kementerian Kesihatan perlu mengerahkan sebanyak mungkin petugas untuk memastikan tiada yang ingkar SOP selama PRK berlangsung, katanya.

Katanya, terdapat 2 aspek penguatkuasaan, iaitu pertama, mewujudkan kesedaran, dan kedua, mengenakan kompaun terhadap individu yang ingkar.

“Apa yang penting adalah konsisten dalam sahaja yang pihak berkuasa tetapkan. Seharusnya tiada dwi standard dalam menguatkuasakan peraturan antara rakyat dan ahli politik.

“Sekiranya patuh SOP, maka tak perlu takut (dalam mengadakan PRK),” kata Lee.

“Lagipun, kawasan paling tinggi berisiko adalah wad hospital Covid-19 tetapi tidak ada jangkitan kerana SOP dipatuhi dengan ketat,” katanya ketika memberi contoh bagaimana pematuhan penuh membantu mengekang penyebaran virus.

Sementara itu, peguam Andrew Khoo menggesa parti politik tidak menyertai PRK Batu Sapi dan membiarkan calon Warisan menang tanpa bertanding demi kesihatan dan keselamatan pengundi di situ, yang terletak di Sandakan.

Pengerusi bersama jawatankuasa undang-undang perlembagaan Majlis Peguam itu berkata calon Warisan yang menang tanpa bertanding akan mengekalkan status quo di Parlimen.

Khoo berkata ahli politik dari kedua belah pihak perlu mengetepikan perbezaan dan menunjukkan mereka peduli dengan peningkatan kes Covid-19.

“Dengan tidak bertanding di kerusi itu, kempen dan membuang undi tak lagi diperlukan, dan kemungkinan besar akan membantu mencegah penyebaran Covid-19.

“Ini juga akan menjadi salah satu cara agar rakyat, dan orang Sabah khususnya, dapat mengenang Liew dan sumbangannya kepada negara,” katanya kepada FMT.

Batu Sapi mempunyai 32,574 pengundi berdaftar pada pilihan raya lalu. Liew memenangi kerusi itu dalam pertembungan 4 penjuru menentang BN, Amanah, dan PAS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.