Kertas siasatan kes Khairuddin diserah semula kepada AGC, kata Bukit Aman

Kertas siasatan kes Khairuddin diserah semula kepada AGC, kata Bukit Aman

Ia diserah pada 1 Oktober lalu untuk tindakan lanjut Jabatan Peguam Negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali menjadi sasaran kritikan apabila beliau tidak mematuhi arahan kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari Turki Julai lalu.
PETALING JAYA:
Bukit Aman sudah menyerahkan semula kertas siasatan (IP) membabitkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali ke Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kegagalannya mematuhi kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid berkata, kertas siasatan itu diserahkan pada 1 Oktober lalu untuk tindakan lanjut AGC.

“Sudah serah semula pada 1 Oktober untuk kajian lanjut pihak AGC,” katanya kepada FMT ketika ditanya berhubung perkembangan siasatan membabitkan menteri itu.

Pada 30 September lalu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed memaklumkan siasatan terhadap Khairuddin diteruskan.

Katanya, terdapat beberapa tindakan lagi yang perlu polis laksanakan selepas mendapat semula kertas siasatan yang diserah kepada AGC.

“Dalam masa terdekat kita dapat selesaikan arahan yang dikeluarkan oleh pihak AGC,” kata Huzir.

Khairuddin menjadi sasaran kritikan apabila beliau tidak mematuhi arahan kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari Turki Julai lalu.

Beliau sebelum ini memaklumkan membayar denda RM1,000 dan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung siasatan terhadapnya.

Selain itu, Khairuddin turut memulangkan gaji sebagai menteri bagi Mei hingga Ogos, untuk sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.