Langkah Rahman: Pengorbanan tulen atau kompromi politik?

Langkah Rahman: Pengorbanan tulen atau kompromi politik?

Daripada keyakinan mempertahan Tempasuk ‘kubu biru’ kepada penarikan diri mengejut, keputusan Rahman Dahlan timbulkan persoalan besar.

Dato' Abdul Rahman Dahlan

Isnin lalu, FMT melaporkan keterujaan Abdul Rahman Dahlan ketika mengulas pencalonannya sebagai calon Barisan Nasional (BN) di DUN Tempasuk pada PRN 29 Nov ini.

Beliau dilihat bersemangat, yakin, dan bersedia mempertahankan ‘kubu biru’ itu daripada digugat mana-mana pihak — termasuk penyandang Arsad Bistari dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang pada PRN 2020 menang atas tiket BN.

Namun, dalam pusingan tidak dijangka, hanya beberapa hari selepas pengumuman rasmi calon, Rahman membuat keputusan mengejutkan — menarik diri daripada bertanding.

Rahman yang juga timbalan ketua Umno Sabah berkata keputusan itu dibuat atas dasar memberi laluan kepada muka baharu dan anak tempatan Kota Belud untuk menggalas tanggungjawab itu.

“Saya percaya anak tempatan dari Umno Kota Belud akan dapat menggalas tanggungjawab ini dengan cemerlang,” kata ketua Umno Tuaran itu sambil menegaskan beliau tetap setia membantu parti dalam peranan lain.

Kekosongan itu segera diisi Ketua Umno Kota Belud Azwan Norjan, yang kini diumumkan sebagai calon baharu BN di DUN Tempasuk.

Bagi banyak pihak, keputusan itu menggambarkan Rahman sebagai seorang pemimpin berjiwa besar — namun penulis mempunyai persoalan sendiri: Adakah semuanya semudah yang dinyatakan?

Ini kerana beberapa hari sebelumnya Rahman tampil penuh yakin, menegaskan beliau akan mempertahankan Tempasuk dengan rekod khidmat bakti selama menjadi Ahli Parlimen Kota Belud dari 2008 hingga 2018.

Beliau pernah mengingatkan ‘Tempasuk belum pernah jatuh ke tangan lawan’, menggambarkan keyakinan tinggi terhadap kekuatan jentera Umno di kawasan itu.

“Saya bertanding tiga kali di Parlimen Kota Belud; dua kali menang, sekali kalah, tapi Tempasuk tetap kita menang,” katanya.

Rahman juga membangkitkan isu pembinaan Politeknik Kota Belud bernilai RM250 juta — projek diperjuangkan sejak 2017 tetapi dibatalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 sebelum beliau menghidupkannya semula.

“Selepas kerajaan berubah, saya bawa semula perkara ini kepada menteri-menteri Umno. Kini, ia sedang direalisasikan di Tempasuk,” katanya.

Bekas menteri persekutuan itu juga menolak dakwaan kononnya beliau tidak sehaluan dengan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin.

Katanya, hubungan mereka ‘solid’ sebagai satu pasukan dan kedua-duanya sepakat untuk mara ke depan demi memastikan BN kembali menguasai Sabah.

Walaupun hubungan mereka pernah tegang sebelum ini, termasuk isu ‘Langkah Kinabalu’ dan soal kawasan ditandingi, Rahman menegaskan semua itu sudah berlalu.

Namun, tidak dapat dinafikan, keputusan beliau berundur di saat akhir menimbulkan tanda tanya tentang apa yang sebenarnya berlaku di belakang tabir.

Adakah ia semata-mata demi memberi ruang kepada generasi muda, atau ada tekanan dan kompromi politik?

Dalam senario semasa, kerusi Tempasuk kini menyaksikan pertembungan menarik — Azwan mewakili BN, Arsad mempertahankan kerusi untuk GRS, manakala Warisan pula menampilkan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis.

Keadaan itu menjadikannya kerusi yang dianggap simbol kekuatan politik Kota Belud — menjadikan Tempasuk antara gelanggang paling panas dalam PRN kali ini.

Bagi Rahman yang juga , keputusannya adalah pengorbanan ikhlas demi masa depan parti.

Namun bagi mereka yang mengikuti pergolakan politik Umno Sabah, ada persoalan sama ada ia mungkin tanda kompromi besar kerana ada desakan.

Apa pun tafsirannya, satu perkara pasti — langkah Rahman meninggalkan pentas Tempasuk bukan bererti beliau sudah menamatkan perjuangan politiknya.

Sebaliknya, ia mungkin permulaan bab baharu — di mana seorang tokoh lama memilih untuk berundur (sementara) dengan berhemah, sambil memberi ruang kepada generasi baharu atau anak tempatan membuktikan kemampuan mereka.

Dan bagi Umno Kota Belud sendiri, keputusan ini membuka persoalan yang lebih dalam: adakah laluan yang diberikan itu benar-benar atas semangat perjuangan, atau sekadar menenangkan badai politik dalaman?

Hanya mereka di Kota Belud yang tahu jawapannya.

 

Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.