
Ramai yang susah hati dengan Sidang Kemuncak Asean yang akan berlangsung sehari dua lagi. Mereka bimbang dengan ‘lockdown’ tetapi yang sebenarnya Kuala Lumpur tidak ditutup sama sekali, malah ibu negara Malaysia ini semakin meriah dengan kehadiran pemimpin dari seluruh dunia.
Seharusnya kita berbangga apabila tanah air menjadi tumpuan global bukannya susah hati dan terus merungut. Kakitangan awam sudah diberikan kebenaran kerja dari rumah. Sebanyak 120 buah sekolah pula ditutup, majikan swasta pula disaran memberikan kelonggaran kepada pekerja. Kalau perlu datang pejabat sekali pun, Kuala Lumpur bandar moden, bangunan-bangunannya disambungkan melalui sistem rel, lebih mudah dan murah.
Kita susah hati sebab tidak faham kenapa Asean penting dan kenapa dunia beri tumpuan kepada negara kecil yang hanya mempunyai lebih kurang 35 juta penduduk. Kita lebih memikirkan diri daripada sesuatu yang lebih besar, sedangkan yang ‘godang’ itu membawa nikmat yang banyak kepada seluruh warganya.
Kenapa Asean penting dan apakah manfaatnya kepada Malaysia?
Keanggotaan Malaysia dalam Persatuan Negara Asia Tenggara bukan sekadar urusan diplomatik antara kerajaan — ia memberi kesan nyata pada kehidupan seharian rakyat. Dengan gabungan 10 negara dan populasi lebih 680 juta orang, Asean merupakan pasaran besar dan blok kerjasama penting. Pertumbuhan ekonomi Asean yang pesat membuka peluang pelaburan dan perniagaan baharu. Keluaran Dalam Negara Kasar gabungan Asean kini mencecah lebih USD3.9 trilion, menjadikannya blok ekonomi kelima terbesar di dunia.
Malaysia memperoleh manfaat besar melalui perdagangan intra-Asean, yang menyumbang kira-kira 25% daripada jumlah perdagangan negara. Pelaburan dari negara-negara jiran mewujudkan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat kita dalam sektor perkilangan, logistik, pelancongan dan teknologi.
Banyak cukai import antara negara Asean dikurangkan atau dihapuskan melalui perjanjian perdagangan bebas seperti ‘Asean Free Trade Area’. Ini membolehkan rakyat Malaysia menikmati barangan keperluan harian pada harga lebih rendah — termasuk makanan, pakaian dan barangan elektrik. Dasar ini juga meningkatkan daya saing perniagaan tempatan.
Penambahbaikan ‘Asean Trade in Goods Agreement’ yang dijangka ditandatangani semasa Sidang Kemuncak Pemimpin pada 26–27 Oktober akan memudahkan prosedur perdagangan dan meningkatkan perdagangan intra-serantau. Ini bukan sahaja mengukuhkan perpaduan ekonomi Asean, tetapi juga mengurangkan kebergantungan pada kuasa luar sekali gus memperkukuh autonomi strategik, sentraliti dan pendirian berkecuali rantau ini. Ia juga secara tidak langsung akan membantu menambah pendapatan usahawan tempatan. Lebih 97% perusahaan di Asean terdiri daripada PMKS, yang menjadi tulang belakang ekonomi rantau ini. Usahawan kecil di Malaysia kini mempunyai peluang luas untuk memasarkan produk ke pasaran Asean tanpa halangan tarif yang tinggi, contohnya produk makanan, kosmetik dan tekstil menembusi pasaran Indonesia, Vietnam dan Thailand, sekali gus meningkatkan pendapatan usahawan Bumiputera dan luar bandar.
Dalam masa yang sama, harus diingat, Asean bukan sekadar blok ekonomi tetapi juga platform penting untuk kerjasama keselamatan serantau. Dari segi geopolitik, Malaysia sebagai negara kecil mendapat manfaat apabila Asean bersatu. Suara bersama Asean menjadikan Malaysia lebih kuat di peringkat antarabangsa dan tidak mudah ditekan oleh kuasa besar.
Kerjasama yang erat antara negara-negara Asean untuk menangani ancaman seperti keganasan, penyeludupan dadah, dan jenayah rentas sempadan memberikan manfaat yang besar kepada Malaysia dalam melindungi keselamatan rakyat. Kerjasama ini membantu Malaysia memastikan sempadan negara lebih terjamin dan keselamatan rakyat lebih terpelihara.
Kesimpulannya, keanggotaan Malaysia dalam Asean membawa manfaat yang langsung dan nyata kepada rakyat — daripada peluang pekerjaan, harga barangan yang lebih berpatutan, peningkatan pendapatan usahawan kecil, kemudahan pelancongan dan keselamatan, hinggalah peluang pendidikan.
Dalam dunia yang semakin mencabar, kerjasama serantau bukan lagi pilihan tetapi keperluan untuk memastikan Malaysia terus maju dan rakyat mendapat manfaat sebenar daripada hubungan serantau ini.
Kedatangan ramai pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, membuktikan bahawa kejayaan diplomasi lunak dalam kesederhanaan yang dibawa oleh Malaysia untuk menonjolkan rantau ini sebagai pentas penting yang perlu diberikan perhatian walaupun dalam kerencaman geopolitik.
Azran Fitri Rahim pernah bertugas sebagai wartawan, setiausaha akhbar kepada menteri dan memimpin sekretariat komunikasi strategik di Pejabat Perdana Menteri.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.