Menggenggam harapan demokrasi: Dari Malaysia ke pentas dunia

Menggenggam harapan demokrasi: Dari Malaysia ke pentas dunia

Demokrasi yang segar, inklusif dan berdaya tahan bukan mustahil, asalkan setiap warga mengambil peranan.

Latar belakang Hari Demokrasi Antarabangsa

Hari Demokrasi Antarabangsa diisytiharkan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2007 sebagai hari peringatan global untuk menggalakkan negara anggota menilai tahap demokrasi, memperkukuh institusi dan menggalakkan penyertaan rakyat. Tarikh 15 Sept dipilih untuk memberi ruang refleksi kerana demokrasi tidak hadir dengan sendirinya – ia perlu dijaga, dipupuk dan diperbaharui setiap generasi.

Sejarah demokrasi moden panjang dan berliku. Dari era Athens dengan konsep pemerintahan rakyat kepada Magna Carta 1215 yang mengehadkan kuasa mutlak raja, hinggalah selepas perang dunia kedua apabila Universal Declaration of Human Rights 1948 menegaskan kehendak rakyat adalah asas kepada autoriti kerajaan.

Hari ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh) yang menyeru pembinaan institusi yang telus dan inklusif. Unesco mengingatkan tanpa pendidikan sivik, kebebasan media dan undang-undang yang adil, demokrasi boleh merosot secara perlahan-lahan. Contoh dari Afrika Selatan selepas aparteid dan Korea Selatan selepas protes rakyat membuktikan demokrasi boleh dipulihkan, tetapi memerlukan pengorbanan dan kesedaran kolektif.

Malaysia: Di persimpangan demokrasi

Malaysia berada di kedudukan pertengahan dalam indeks demokrasi global, tetapi beberapa tahun kebelakangan ini memperlihatkan lonjakan kesedaran rakyat. PRU14 pada 2018 menjadi detik penting apabila rakyat beratur panjang sejak awal pagi di pusat mengundi, menunggu berjam-jam untuk melaksanakan hak mereka.

Malam itu, berjuta rakyat memerhati keputusan secara langsung penuh debaran dan akhirnya menyaksikan peralihan kuasa secara aman – sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam enam dekad. Ia menjadi bukti setiap undi membawa makna dan suara rakyat benar-benar mampu mengubah landskap negara.

Namun, PRU15 pada 2022 membawa cabaran baharu apabila Parlimen tergantung. Rundingan politik selama beberapa hari mencetuskan perasaan bercampur baur – ada yang cemas, ada yang berharap. Akhirnya, kerajaan perpaduan dibentuk, menandakan era politik kompromi dan kerjasama dwipartisan.

Dalam masa sama, Akta Antilompat Parti diluluskan bagi mengembalikan keyakinan rakyat yang pernah goyah akibat episod lompat parti. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencatatkan lebih 21 juta pengundi berdaftar dengan kadar keluar mengundi sekitar 73%. Semua ini membuktikan demokrasi Malaysia sedang diuji, tetapi semakin matang.

Selain pilihan raya dan reformasi undang-undang, kebebasan berhimpun turut menjadi tanda aras penting demokrasi. Malaysia memperkenalkan Akta Perhimpunan Aman 2012 yang memberi ruang rakyat menganjurkan perhimpunan secara aman dengan syarat tertentu.

Walaupun ada perdebatan mengenai syarat notis kepada pihak berkuasa dan lokasi yang dihadkan, akta ini mengiktiraf hak rakyat untuk menyuarakan pandangan di ruang awam tanpa takut dikenakan tindakan undang-undang seperti sebelum ini.

Kejayaan beberapa perhimpunan besar berlangsung dengan aman, seperti perhimpunan advokasi hak asasi dan kebebasan media, membuktikan rakyat semakin matang dan pihak berkuasa semakin bersedia menguruskan hak berhimpun secara bertanggungjawab.

Anjakan demokrasi: Undi 18 dan pendaftaran automatik

Antara reformasi paling besar ialah pengenalan Undi 18, yang menurunkan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun dan memperkenalkan pendaftaran automatik. Lebih 6.2 juta pengundi baharu tersenarai secara automatik, menjadikan belia kini blok pengundi terbesar dalam sejarah Malaysia.

Kehadiran mereka memberi impak besar dalam PRU 2022, apabila pengundi kali pertama menjadi penentu di banyak kerusi. Parti politik terpaksa menyusun manifesto baharu yang mesra belia, merangkumi isu pekerjaan, gaji, pendidikan TVET dan kos sara hidup. Suara belia semakin lantang di media sosial dan kempen seperti #MudaVote menggalakkan mereka keluar mengundi.

Namun, generasi ini juga paling terdedah kepada berita palsu dan propaganda politik tersebar pantas di platform digital. Pendidikan sivik dan literasi digital perlu diperkukuh di sekolah dan universiti supaya penglibatan generasi muda menjadi pemacu demokrasi matang, bukan sekadar trend yang mudah dipengaruhi emosi.

Demokrasi di Asia: Pergolakan dan harapan

Di rantau Asia, perjalanan demokrasi berbeza-beza warnanya. Nepal menamatkan monarki pada 2008 dan mengisytiharkan republik dengan perlembagaan baharu pada 2015, tetapi kerajaan bertukar hampir setiap tahun akibat perebutan kuasa. Keadaan ini meletihkan rakyat yang mahukan kestabilan. Golongan belia di Nepal semakin aktif dalam politik, menubuhkan parti baharu dan mendesak reformasi untuk mengakhiri ketidaktentuan.

Indonesia pula menjadi demokrasi terbesar di Asia. Selepas kejatuhan Suharto pada 1998, sistem pilihan raya bebas dilaksanakan, desentralisasi diperkenalkan dan masyarakat sivil diberi ruang. Komisi Pemilihan Umum (KPU) menggunakan teknologi digital untuk kiraan undi, meningkatkan ketelusan.

Pilihan raya presiden 2024 mencatatkan penyertaan belia tertinggi dalam sejarah, tetapi turut memperlihatkan cabaran politik wang, penyebaran berita palsu dan polarisasi identiti. Media sosial menjadi medan kempen paling penting, sekali gus medan perpecahan.

Kedua-dua negara ini memberi pengajaran bahawa demokrasi memerlukan kestabilan institusi, rakyat yang celik maklumat dan pemimpin sanggup meletakkan kepentingan negara di atas kepentingan peribadi.

Teladan negara cemerlang demokrasi

Negara-negara Nordic seperti Norway, Denmark, Finland, Sweden dan Iceland menjadi model kerana berjaya mengekalkan integriti institusi, sistem kebajikan sosial dan ketelusan yang tinggi. Di Denmark, peraturan dana politik ketat memastikan rakyat percaya kepada parti yang mereka pilih. Finland pula terkenal dengan kurikulum literasi media yang mengajar rakyat mengenali propaganda dan membezakan fakta daripada manipulasi.

New Zealand mencatat kadar penyertaan pengundi melebihi 80%, hasil sistem pilihan raya inklusif dan dipercayai rakyat. Norway pula mengamalkan konsep “open government” membolehkan rakyat mengakses dokumen kerajaan secara terbuka.

Switzerland mengekalkan demokrasi langsung melalui pungutan suara, manakala Costa Rica memilih untuk menyalurkan dana ketenteraan kepada pendidikan dan kesihatan sejak 1948, sehingga mencapai kadar literasi 97%. Semua ini menjadi bukti demokrasi yang kukuh memerlukan ketelusan, pendidikan dan rakyat yang terlibat secara aktif.

Menggenggam harapan demokrasi

Hari Demokrasi Antarabangsa mengingatkan kita bahawa demokrasi bukan sekadar pilihan raya lima tahun sekali, tetapi satu ekosistem yang perlu dijaga setiap hari. Rakyat bukan hanya perlu keluar mengundi, tetapi juga memantau bajet kerajaan, menghadiri sesi dialog awam, menyokong NGO yang memperjuangkan integriti dan mendidik generasi muda tentang nilai keterbukaan serta toleransi.

Masyarakat yang berhenti peduli akan membuka ruang kepada kemerosotan demokrasi sedikit demi sedikit, sehingga akhirnya sistem hilang rohnya.

Malaysia kini berada di persimpangan penting. Dengan memperkukuh institusi, memelihara kebebasan media dan mendengar suara rakyat, negara ini berpotensi menjadi model demokrasi matang di Asia Tenggara.

Demokrasi adalah warisan generasi akan datang – ia hanya akan terus hidup jika kita semua memilih untuk menjaganya. Inspirasi daripada negara cemerlang dan pengajaran daripada jiran serantau boleh menjadi peta jalan untuk Malaysia melangkah ke masa depan dengan lebih yakin. Demokrasi yang segar, inklusif dan berdaya tahan bukan mustahil, asalkan setiap warga mengambil peranan.

 

Mohamed Nasser Mohamed ialah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.