
Dalam landskap global semakin mencabar, pendidikan tinggi muncul sebagai tunjang utama untuk melahirkan generasi muda berdaya saing, berwawasan dan beridentiti.
Bagi rantau Asia Tenggara, keperluan terhadap satu wadah pendidikan serantau yang benar-benar mampu menyatukan tenaga, bakat dan potensi modal insan tidak lagi boleh ditangguhkan.
Justeru, cadangan penubuhan Universiti Asean datang pada masa yang tepat, ketika dunia sedang menyaksikan perubahan besar dalam struktur ekonomi, sosial serta teknologi.
Idea ini saya kemukakan dalam Forum ASEAN Community Vision 2045 – Bringing Opportunities Closer to ASEAN Cities yang dianjurkan oleh URBANICE pada 14 Ogos 2025. Ia lahir daripada keyakinan bahawa ASEAN mesti berani melangkah lebih jauh dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan demi masa depan yang lebih makmur dan inklusif.
Idea yang sama juga saya kemukakan ketika sesi libat urus Belanjawan Selangor 2026 pada 11 Sept lalu di bawah tema Pendidikan dan Pemerkasaan Generasi Muda.
Cadangan ini bukan sahaja berpotensi memperkukuh kerjasama pendidikan serantau, malah mampu melahirkan generasi baharu pemimpin dengan kefahaman rentas budaya, daya inovasi dan daya saing global.
Asean kini didiami lebih 680 juta penduduk dengan hampir satu pertiga daripadanya terdiri daripada golongan muda. Populasi belia yang besar ini merupakan aset strategik yang tidak ternilai. Mereka adalah pewaris kepimpinan, pemacu ekonomi dan penggerak utama kepada kelestarian rantau ini.
Namun, tanpa peluang pendidikan berkualiti, potensi ini berisiko terbazir. Universiti Asean boleh menjadi medan terbaik untuk menyemai bakat dan daya fikir kritis generasi muda serantau, seterusnya melahirkan tenaga mahir yang akan mendukung pembangunan pelbagai bidang penting seperti perubatan, kejuruteraan, perakaunan, teknologi digital, pertanian, sains sosial dan sains iklim.
Bagaimanapun, manfaat Universiti Asean tidak seharusnya terhad kepada golongan belia semata-mata. Universiti ini juga boleh dibuka kepada golongan profesional, termasuk penjawat awam, diplomat, pemimpin masyarakat dan usahawan.
Mereka memerlukan ruang pendidikan berterusan untuk menambah ilmu, menguasai perspektif global dan mengukuhkan jaringan antarabangsa.
Bayangkan seorang pegawai kerajaan dari Filipina, seorang diplomat dari Laos dan seorang usahawan kecil dari Malaysia duduk dalam kelas yang sama, membincangkan isu perubahan iklim atau ekonomi digital bersama profesor dari seluruh rantau.
Perkongsian kepakaran merentas negara ini akan memperkayakan wacana ilmu dan membina pemahaman bersama yang melangkaui batas geografi.
Keperluan wadah serantau
Selain itu, realiti hari ini menunjukkan ramai pelajar Asean terpaksa berhijrah ke luar negara untuk mendapatkan pendidikan tinggi bertaraf dunia, khususnya ke Amerika Syarikat, Eropah dan United Kingdom. Kos pengajian di negara tersebut amat tinggi, sehingga hanya segelintir keluarga mampu menanggungnya.
Hal ini bukan sahaja membebankan, malah mewujudkan jurang ketara dalam akses pendidikan berkualiti. Universiti Asean boleh menjadi alternatif lebih berpatutan yang tetap mengekalkan reputasi antarabangsa.
Dengan itu, lebih ramai anak muda berpeluang menikmati pendidikan bertaraf dunia tanpa perlu meninggalkan rantau ini atau menanggung kos keterlaluan.
Pendidikan sudah sebati dengan budaya masyarakat Asia. Ia dianggap sebagai jalan untuk memperbaiki kehidupan keluarga dan simbol kemajuan sosial.
Penubuhan Universiti Asean akan memperkukuh lagi budaya ini, menjadikan pendidikan bukan sahaja sebagai alat mobiliti sosial, tetapi juga jambatan penyatuan serantau.
Dengan menghimpunkan pelajar dan pensyarah daripada pelbagai negara anggota, universiti ini akan membentuk sebuah komuniti akademik ASEAN yang berteraskan nilai kebersamaan, hormat budaya dan semangat solidariti.
Dari sudut penyelidikan pula, Universiti Asean berpotensi menjadi hab pengetahuan yang mengumpulkan pakar-pakar dari seluruh rantau untuk menangani isu bersama.
Masalah seperti perubahan iklim, keselamatan makanan, penyakit berjangkit, pembangunan bandar lestari dan tenaga boleh diperbaharui memerlukan penyelesaian kolektif yang berpaksikan kepada realiti tempatan.
Menerusi kewujudan universiti ini, penyelidikan berskala besar dapat digerakkan melalui dana bersama, jaringan makmal dan kolaborasi rentas disiplin.
Hasilnya bukan sahaja memperkayakan khazanah ilmu serantau, malah menyumbang kepada penyelesaian masalah global.
Integrasi serantau dan legasi masa depan
Lebih penting lagi, Universiti Asean mampu meningkatkan integrasi serantau. Pendidikan adalah instrumen paling berkesan untuk menanamkan identiti bersama, melangkaui kerjasama ekonomi dan politik semata-mata.
Universiti ini boleh menjadi pusat mobiliti akademik melalui program pertukaran pelajar dan pensyarah, mirip kepada Erasmus Programme di Eropah yang terbukti berjaya menyemarakkan semangat kesatuan.
Universiti Asean juga boleh memperluas akses pendidikan berkualiti, terutama kepada negara anggota yang tahap pembangunan pendidikan tingginya masih rendah. Dengan itu, jurang pendidikan dapat dikecilkan, sekali gus melahirkan generasi ASEAN yang lebih seimbang dari segi ilmu dan kemahiran.
Dalam masa yang sama, Universiti Asean berpotensi berperanan sebagai pusat diplomasi pendidikan. Pertemuan pelajar dan penyelidik daripada pelbagai latar belakang budaya dan bahasa akan memperkukuh persefahaman serta mengurangkan salah tanggapan antara masyarakat.
Dari sini, bakal lahir tokoh politik, pentadbir, ahli perniagaan, saintis dan pemimpin masyarakat yang mempunyai visi serantau, sekali gus mengukuhkan kedudukan ASEAN di persada dunia.
Kerjasama dan komitmen serantau
Memang benar, penubuhan Universiti Asean bukanlah usaha kecil. Ia menuntut kerjasama erat daripada semua negara anggota, dari aspek dasar, pembiayaan dan pembangunan infrastruktur. Namun, jika dilihat dari segi manfaat jangka panjangnya, pelaburan ini sangat berbaloi.
Dunia hari ini menuntut kita berfikir melangkaui sempadan negara, dan anak muda Asean perlu dipersiapkan bukan sahaja untuk bersaing di peringkat tempatan, malah juga di pentas global.
Sudah tiba masanya ASEAN berani melangkah lebih jauh. Universiti Asean bukan sekadar sebuah institusi pendidikan tinggi, tetapi lambang penyatuan serantau, pusat kecemerlangan ilmu dan tapak kelahiran pemimpin masa depan.
Jika direalisasikan, universiti ini akan menjadi legasi penting bahawa Asia Tenggara mampu berdiri setara dengan rantau lain dalam mengangkat martabat ilmu dan membina masa depan yang lebih gemilang.
Noorul Ainur Mohd Nur adalah pengerusi UCYP University Pahang dan Profesor Sunway University.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.