
Penurunan mendadak prestasi ekonomi dari satu tahun ke tahun berikutnya adalah sesuatu yang membimbangkan bagi mana-mana negeri. Namun, keadaan itu juga sering dijadikan peluang oleh pembangkang untuk memburukkan kerajaan.
Inilah senario sedang berlaku di Sabah.
Data awal didedahkan Jabatan Perangkaan (DOSM) pada Jun menunjukkan jumlah eksport Sabah tahun lalu merekodkan RM32.067 bilion, turun daripada RM91.33 bilion pada 2023— satu penurunan sebanyak 65%.
Angka import pula lebih membimbangkan — RM10.903 bilion pada 2024, merosot 84% daripada RM68.132 bilion pada 2023.
Secara keseluruhan, jumlah perdagangan negeri itu menjunam daripada RM159.46 bilion pada tahun 2023 kepada RM42.97 bilion — penurunan lebih 70%.
Parti pembangkang Warisan dan Umno tidak melepaskan peluang menjadikan situasi itu sebagai senjata politik terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai Ketua Menteri Hajiji Noor.
Naib Presiden Warisan, Junz Wong menyifatkan kejatuhan import sebagai penurunan keyakinan pelabur dan aktiviti ekonomi yang membimbangkan.
Ketua Penerangan Umno Sabah Suhaimi Nasir pula lebih lantang apabila mendakwa penurunan RM57.23 bilion dalam import dan RM59.26 bilion dalam eksport menjadikan Sabah satu-satunya negeri dengan kemerosotan perdagangan ketara. Beliau menyifatkannya sebagai kemelesetan ekonomi.
“Penurunan mendadak dalam import menunjukkan pelabur semakin hilang keyakinan terhadap pentadbiran Sabah,” tambah beliau.
Namun, ternyata angka itu tidak seperti disangka. Statistik terkini dikeluarkan oleh DOSM hanya beberapa minggu kemudian menunjukkan gambaran yang amat berbeza.
Pihak berkuasa akhirnya mengesan lonjakan eksport pada 2023 berpunca daripada ‘satu transaksi luar biasa’. Dalam erti kata lain, tanpa ‘transaksi luar biasa’ itu, jumlah eksport akan selari dengan tahun-tahun sebelumnya — ia adalah satu anomali.
Angka terkini daripada DOSM menunjukkan eksport Sabah pada 2023 adalah RM31.08 bilion jika transaksi luar biasa itu tidak diambil kira. Data baharu juga menunjukkan eksport meningkat kepada RM32.07 bilion pada tahun berikutnya — peningkatan sebanyak 3.2%.
Ini sejajar dengan data tahun-tahun sebelumnya.
Malah pada 2022, ketika harga minyak mentah dan minyak sawit — dua komoditi utama Sabah — berada pada paras tinggi, nilai eksport negeri itu hanya mencecah RM61.5 bilion, jauh lebih rendah berbanding RM91.33 bilion yang dilaporkan sebelum ini oleh DOSM dan dijadikan modal politik oleh Wong dan Suhaimi.
Tahun itu, harga minyak mentah mencecah sehingga USD120 setong, manakala harga minyak sawit berada antara RM5,000 hingga RM7,000 satu tan.
Nilai eksport menurun kepada RM32.07 bilion pada tahun 2023 disebabkan kejatuhan harga minyak mentah kepada hanya lebih US$70 setong dan penurunan harga minyak sawit sebanyak 20%.
Hakikatnya, ekonomi Sabah berada dalam keadaan stabil, menjadikannya destinasi pelaburan yang menarik — sama ada untuk pelabur tempatan mahupun asing. Ini dapat dilihat melalui peningkatan pelaburan yang konsisten.
Sebagai contoh, sektor pembuatan mencatat pelaburan baru yang diluluskan sebanyak RM2.47 bilion pada tahun 2024, meningkat 63% berbanding tahun sebelumnya.
Pelaburan langsung asing (FDI) pula melonjak 98% kepada RM962.3 juta pada 2024 daripada hanya RM16.6 juta pada 2023, hasil utama daripada projek pengembangan bernilai RM950 juta oleh Kibing Group, syarikat pengeluar kaca dari China, di Taman Perindustrian Kota Kinabalu.
Tahun ini dijangka lebih memberangsangkan. Dalam suku pertama sahaja, Sabah telah menarik pelaburan baru sebanyak RM10.9 bilion — lebih empat kali ganda berbanding keseluruhan tahun 2024.
Seperti dinyatakan Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Phoong Jin Zhe, dalam keadaan ketidaktentuan global, Sabah kini menjadi hab pelaburan yang kompetitif dan dipercayai.
Kerajaan negeri menegaskan bahawa angka 2023 adalah luar kebiasaan. Tindakan pembangkang mengubah naratif demi kepentingan politik adalah berbahaya.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.