Pembaharuan fiskal: Kesulitan singkat demi manfaat jangka panjang (dan segera)

Pembaharuan fiskal: Kesulitan singkat demi manfaat jangka panjang (dan segera)

Reformasi cukai dan subsidi mungkin 'kesakitan jangka pendek' demi manfaat berpanjangan, namun tiada kesan besar bagi majoriti rakyat.

hasil lhdn

Kerangka ekonomi Madani telah menetapkan matlamat yang bercita-cita tinggi untuk kestabilan fiskal dan peningkatan nisbah hasil kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Seperti yang saya cadangkan sejak awal, proses ini sedang berlangsung dalam tiga peringkat utama.

Peringkat pertama melibatkan pengurangan pembaziran, ketirisan dan rasuah, dengan rasionalisasi subsidi sebagai teras utama.

Setakat ini, penjimatan sebanyak RM4 bilion telah dicapai melalui subsidi elektrik bersasar, RM7.5 bilion melalui rasionalisasi subsidi diesel dan RM1.5 bilion daripada sektor lain. Tambahan RM8 bilion dijangka daripada rasionalisasi subsidi RON95, jika dicampur kesemuanya jumlahnya boleh mencecah RM21 bilion.

Jumlah ini penjimatan struktur yang berulang setiap tahun, bersamaan dengan 6.3% daripada perbelanjaan mengurus semasa atau 23.6% daripada dana pembangunan.

Peringkat kedua pembaharuan fiskal pula melibatkan penilaian pilihan cukai dan pelaksanaan pelarasan kecil secara berjadual, bukan langkah drastik yang mengejut.

Setakat ini, perubahan cukai diperkenalkan bersifat sederhana dan disasarkan kepada golongan berpendapatan tinggi, termasuk cukai barang bernilai tinggi (HVG), cukai barangan digital (DGT), cukai keuntungan modal (CGT), dan cukai barang bernilai rendah (LVG). Kesemua ini dijangka menjana sekitar RM2.5 bilion.

Perubahan terbesar berlaku pada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang menjana tambahan RM5.5 bilion pada 2024 manakala tambahan RM5 bilion untuk baki enam bulan tahun ini dan tambahan RM10 bilion setahun selepas itu.

Jika digabungkan dengan penjimatan subsidi, perubahan cukai struktur ini bersamaan dengan 10.1% perbelanjaan mengurus semasa atau 38.2% peruntukan pembangunan 2025.

Peringkat terakhir pembaharuan fiskal, yang sedang bermula, ialah menyusun semula sistem untuk jangka panjang dengan mempelbagaikan sumber hasil bagi memastikan kestabilan, kebolehramalan dan kecekapan.

Ini bermakna Malaysia memerlukan model hasil baharu bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber hasil yang tidak stabil, termasuk pendapatan komoditi daripada Petronas yang dijangka hanya bertahan untuk 15 tahun lagi.

Pangkalan hasil lebih luas dan kukuh akan membantu melindungi ekonomi daripada ketidaktentuan global dan turun naik harga komoditi, melalui fokus kepada hasil domestik yang lebih stabil dan boleh diramal—yang meningkat seiring pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan nisbah hasil kepada KDNK secara organik.

Meskipun perubahan yang dilakukan bersifat sederhana dan terancang, masih wujud suara protes seperti biasa, khususnya daripada kumpulan perniagaan yang ‘berteriak kesakitan walau hanya terkena sedikit tempias.

Hakikatnya, ‘kesakitan jangka pendek’ akibat kos pelarasan dan sedikit kenaikan harga telah pun berlalu dan majoriti rakyat tidak pun menyedarinya.

Tidak mengejutkan jika sektor perniagaan menyokong pelaksanaan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana mereka kebanyakannya tidak menanggungnya — cukai itu dipulangkan semula selepas mereka memindahkan kos kepada pengguna.

Justeru, perbincangan semula mengenai GST dianggap tidak membantu, terutamanya kerana ia telah diketepikan buat masa ini.

Dalam menilai cukai baharu atau peluasan cukai sedia ada, kerajaan perlu mengambil pendekatan segar yang mencerminkan perubahan dalam ekonomi — seperti kemunculan ekonomi gig serta peluasan e-pembayaran dan e-dagang.

Satu alternatif yang berdaya maju ialah cukai e-pembayaran (EPT) — iaitu cukai kecil berasaskan luas yang boleh menjana pendapatan besar tanpa beban besar ke atas pengguna atau perniagaan.

Cukai e-pembayaran pada kadar 3% sahaja boleh menjana RM43 bilion — hampir mencukupi untuk menggantikan SST sepenuhnya.

Kelebihan kedudukan fiskal yang kukuh amat banyak. Peningkatan hasil dan kawalan perbelanjaan akan mengurangkan keperluan pinjaman kerajaan serta kos pembiayaannya yang kini hampir RM50 bilion setahun — perbelanjaan ketiga terbesar negara.

Hasil yang lebih baik dan pengurangan pembaziran, ketirisan dan rasuah juga memberi ruang perbelanjaan keutamaan lain seperti kesihatan, pendidikan dan perlindungan sosial termasuk bantuan pendapatan serta pencen persaraan.

Manfaat ini bukan hanya jangka panjang — kita sudah mula melihat kesannya. Pembaharuan subsidi dan cukai setakat ini menyumbang nilai sekurang-kurangnya RM34 bilion.

Sebagai contoh peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) meningkat 30% kepada RM13 bilion dalam Belanjawan 2025, memanfaatkan hampir 9 juta penerima.

Penerima SARA meningkat daripada 700,000 kepada 5.4 juta, yang layak menerima bayaran bulanan melalui MyKad. Perbelanjaan kesihatan awam meningkat kepada RM45.3 bilion, peningkatan 9.8% berbanding tahun sebelumnya.

Perbelanjaan pendidikan mencatat tahap tertinggi dengan kenaikan 9.2% dan pengajian tinggi juga menikmati kenaikan 10.4% dalam Belanjawan 2025.

Perubahan ini secara langsung meningkatkan kualiti hidup rakyat, mengukuhkan pembangunan modal insan dan meningkatkan produktiviti perniagaan.

Dalam fasa seterusnya, strategi untuk melindungi kumpulan rentan daripada kesan perubahan ekonomi akan menjadi lebih mampu dilaksanakan — termasuk bantuan tunai bersasar, pendapatan asas sejagat, pencen asas persaraan, pengangkutan awam yang mudah diakses, pengurangan perbelanjaan kesihatan peribadi dan pelaburan dalam ekonomi penjagaan sejajar dengan penuaan penduduk.

Malah, hampir semua janji dalam manifesto pilihan raya lalu kini semakin berkemungkinan tercapai sebelum PRU akan datang untuk menilai pencapaian kerajaan.

Namun, peningkatan hasil ini mesti disertai dengan perbelanjaan berhemah dan langkah anti-rasuah untuk memastikan kepercayaan rakyat.

Akta Perolehan Kerajaan serta perubahan dalam reka bentuk dasar untuk menghapuskan ‘rantaian naungan’ yang menyalurkan dana kepada pihak berkepentingan tertentu akan membantu meredakan kebimbangan rakyat terhadap cukai tinggi dan subsidi rendah.

Paling utama, reformasi fiskal perlu terus dilaksanakan secara berhemah dan bijaksana. Untuk meraih sokongan rakyat, kerajaan mesti memperbaiki strategi komunikasi supaya reformasi fiskal dikaitkan secara jelas dengan manfaat sosial yang sudah dapat dirasai dan yang dijanjikan untuk jangka panjang.

 

Geoffrey Williams ialah ahli ekonomi di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia.

Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.