
Apabila sesuatu berita sudah disiarkan di salah satu platform media, secara automatik ia tergolong dalam kategori berita dan maklumat basi. Jika media lain mahu menggunakan berita yang sama, ia perlu mencari maklumat baharu. Bagi media yang menjaga kredibiliti, pantang bagi mereka menyiarkan berita basi, yang sudah disiarkan oleh media lain. Berita basi bermaksud berita yang tidak lagi segar, tidak relevan dan hilang nilai kesemasaannya.
Untuk mengelakkan media menggunakan berita basi, wartawan perlu mencari fakta dan maklumat segar yang belum disiarkan oleh media lain. Cuma, dalam kemajuan teknologi maklumat (IT) hari ini, media mengejar masa – siapa cepat, dialah yang lebih awal menyiarkan sesuatu berita, khasnya di platform media sosial. Inilah cabaran bagi media untuk memastikan mereka menyiarkan sesuatu berita lebih awal berbanding pesaing lain. Itulah sebabnya media cetak, malah media penyiaran sukar bersaing dengan media dalam talian. Untuk bersaing, mereka terpaksa mewujudkan media dalam talian sendiri. Jika tidak, media cetak hanya akan menerbitkan berita yang sama keesokannya, manakala di media penyiaran pula pada siaran berita utama pada sebelah malam. Secara praktisnya, media cetak menyiarkan berita yang sama lewat sehari, bergantung kepada berita yang sama mula disiarkan di media lain.
Bagi orang politik, tidak ada istilah maklumat basi. Mereka sering mengulangi maklumat atau berita yang sudah mereka sebut atau disebut berulang kali oleh orang lain, walaupun perkara sama diketahui umum. Ahli politik akan bercakap mengenai topik atau isu yang sama di pentas berbeza sedangkan bagi wartawan, mereka sentiasa menjadi maklumat yang baharu untuk menulis berita. Ini kerana matlamat antara ahli politik dan wartawan adalah berbeza.
Wartawan menulis untuk menyampaikan maklumat terbaru kepada khalayak manakala ahli politik menyampaikan mesej untuk mempengaruhi seberapa ramai khalayak walaupun terpaksa bercakap topik yang sama berulang kali. Pada PRK DUN Ayer Kuning, Tapah, Perak, ahli politik menyogok khalayak khasnya pemilih dengan modal kempen yang dikitar semula. Walaupun sudah direkod dan dicakapkan di media sosial, ketika berceramah, modal sama juga diulang-ulang. Sepanjang dua minggu berkempen dari 12 April hingga tengah malam hari pembuangan undi pada 26 April lalu, parti bertanding membangkitkan isu sama dan berulang-ulang tanpa jemu dengan matlamat untuk mengurangkan kepercayaan kepada parti lawan.
Isu diutarakan di Ayer Kuning khasnya berkaitan politik nasional, adalah sama dengan topik dibangkitkan pada PRU lalu, dilanjutkan pada PRN dan kemudian di beberapa PRK lain selepas PRU15 November 2022. Antaranya bagi kawasan Parlimen ialah Padang Serai, Kedah dimenangi Perikatan Nasional (PN) – Bersatu, Pulai, Johor dimenangi Pakatan Harapan-Amanah dan Kuala Terengganu, Terengganu dimenangi PN-PAS. PRK juga diadakan di lapan DUN iaitu Tioman dan Pelangai di Pahang, Simpang Jeram dan Mahkota di Johor; Jepak, Sarawak; Kuala Kubu Baharu, Selangor; Sungai Bakap, Pulau Pinang dan Nenggiri, Kelantan.
Sebahagian isu nasional dijadikan bahan kempen seperti kerajaan tidak menunai janji, kerjasama Umno-DAP yang disebut UmDAP, kos sara hidup dan sebagainya sudah dianggap berita basi oleh rakyat. Itulah sebabnya media arus perdana tidak memetik maklumat daripada kempen. Itulah juga sebabnya media arus perdana lebih tertumpu kepada berita mengenai calon dan berita tempatan. Sudah tentulah calon parti kerajaan mendapat kelebihan dari segi liputan berita. Calon pembangkang mengharapkan media dalam talian untuk menyiarkan kempen mereka.
Di Ayer Kuning, ada juga beberapa pendedahan dibuat oleh pemimpin parti pembangkang, jurukempen dan pempengaruh tetapi orang ramai tidak begitu berminat mengenainya, apatah lagi mempengaruhi pemikiran mereka. Ini kerana sebahagian besar mereka bukan tokoh untuk dijulang bagi mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Malah, parti, Umno-Barisan Nasional (BN) mewakili PH tidak melayan pendedahan atau hujah daripada pembangkang kerana ia hujah yang sudah dijawab sebelum ini.
Terbukti, keputusan PRK DUN Ayer Kuning memihak kepada parti kerajaan. Calon BN-Umno, Mohamad Yusri Bakir mendapat 11,065 undi berbanding calon PN-PAS, Abdul Muhaimin Malik (6,059 undi) manakala calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) KS Bawani (1,106 undi), membuktikan parti kerajaan yang memerintah masih mempunyai kelebihan. Pelbagai analisis dibuat mengenai keputusan itu. Dalam sistem demokrasi, analisis keputusan selepas pilihan raya adalah semata-mata akademik. Ia boleh berubah mengikut perkembangan semasa.
Secara umumnya, PH-Umno mempunyai banyak kelebihan untuk menang sama ada dari segi pelbagai maklumat rasmi mengenai Ayer Kuning dan pemilih yang mudah diperoleh, kewangan, tenaga kerja, logistik dan sebagainya. Mereka juga tahu masalah sebenar penduduk dan menawarkan jalan penyelesaian segera. PN-PAS tidak ada tawaran yang hendak diberikan, melainkan sekadar mengulangi isu berulang-ulang. Begitu juga, parti kerajaan mempunyai kelebihan dari segi liputan luas media. Dengan saluran beberapa stesen TV dan akhbar pelbagai bahasa yang memihak kepada kerajaan, sememangnya pembangkang terpaksa akur dengan keputusan itu. Namun, ia bukanlah satu pengakhiran kerana harapan PN untuk bangkit adalah cerah dengan strategi lebih tersusun.
Daripada liputan media, boleh dikatakan tidak ada perhimpunan besar-besaran di Ayer Kuning. Barangkali orang ramai berasa mereka tidak perlu lagi membuang masa untuk mendengar ceramah. Tambahan pula, mereka boleh meramalkan hujah berkempen yang sudah mereka baca atau tonton di media sosial. Mereka juga tidak nampak tokoh yang mampu menggegarkan suasana. Suasana dan kaedah berkempen sudah jauh berubah. Jika pada 1950-an dan 60-an, wayang pacak mampu menarik khalayak, diikuti persembahan pentas termasuk Pentarama, Jabatan Penerangan dengan membawa artis untuk menghiburkan khalayak di tapak kempen pada 1970-an dan 1980-an, sekarang semua elemen untuk menarik minat khalayak tertumpu di media sosial. PN perlu menilai semula kaedah untuk berkempen bagi menghadapi PH-BN dalam gelanggang politik PRU16 nanti.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.