Waspada kebangkitan badan kehakiman tak bertanggungjawab

Waspada kebangkitan badan kehakiman tak bertanggungjawab

Seruan untuk menyingkirkan sepenuhnya peranan perdana menteri dalam proses pelantikan hakim akan mengganggu keseimbangan perlembagaan.

Perdebatan mengenai pelantikan badan kehakiman di Malaysia semakin hangat apabila beberapa pihak termasuk sarjana dan pengamal undang-undang tampil mempertahankan seruan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat supaya badan kehakiman lebih terlindung daripada pengawasan eksekutif.

Mereka berpendapat kuasa perdana menteri untuk menolak calon dicadangkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) bercanggah prinsip kebebasan badan kehakiman, dan bahawa pelantikan hakim seharusnya berasaskan merit semata-mata, bebas daripada sebarang kecenderungan politik.

Walaupun pandangan ini sering kali berpunca daripada niat yang baik, ia berisiko mewujudkan satu masalah baharu — kemunculan secara perlahan-lahan badan kehakiman yang tidak bertanggungjawab, iaitu institusi kehakiman yang tidak tertakluk kepada sesiapa namun berkuasa untuk mengubah hala tuju kehidupan awam melalui tafsiran perlembagaan.

Seruan untuk menyingkirkan sepenuhnya peranan perdana menteri dalam proses pelantikan hakim akan mengganggu keseimbangan perlembagaan dan, secara paradoks membahayakan prinsip akauntabiliti yang menjadi pelindung institusi demokratik daripada penyalahgunaan kuasa.

Kerangka Perlembagaan Persekutuan jelas dalam hal ini. Di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, pelantikan hakim mahkamah atasan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri, selepas berunding dengan ketua hakim negara dan Majlis Raja-raja.

SPK, yang ditubuhkan melalui undang-undang pada 2009, berperanan penting dalam menilai dan mencadangkan calon — tetapi tidak pernah dimaksudkan untuk menggantikan peranan perlembagaan pihak eksekutif.

Cadangan agar saranan SPK menjadi mengikat sepenuhnya — sekali gus menghapuskan budi bicara perdana menteri — bermakna mewujudkan badan kehakiman yang hanya bertanggungjawab kepada dirinya sendiri. Ini bukan lagi kebebasan, tetapi keterasingan.

Seperti yang sering ditekankan oleh sarjana perlembagaan, kebebasan badan kehakiman tidak bermaksud hakim perlu dibiarkan dalam keterasingan mutlak. Prinsip asasnya tetap sama: tiada cabang kerajaan yang boleh dibiarkan tanpa sebarang semakan atau kawalan.

Secara asasnya, badan kehakiman tidak dipilih oleh rakyat. Keabsahannya bukan datang daripada peti undi, tetapi daripada pematuhan terhadap norma perlembagaan dan undang-undang.

Sebaliknya, perdana menteri dipilih oleh rakyat dan bertanggungjawab kepada Parlimen. Peranannya dalam proses pelantikan kehakiman merupakan satu-satunya pengaruh tidak langsung rakyat terhadap siapa yang akan mentafsir undang-undang yang mereka pilih.

Menghapuskan peranan ini sepenuhnya bermakna memutuskan hubungan itu, membiarkan ideologi kehakiman berkembang dalam ‘ruang gema’ (echo chamber) yang hanya melibatkan kalangan pengamal undang-undang — yang mungkin akhirnya terasing daripada norma budaya, sosial dan moral negara.

Merit memang penting, tetapi merit harus dinilai dalam konteks, bukan secara terasing. Kecemerlangan undang-undang sahaja tidak mencukupi tanpa sikap rendah hati untuk berkhidmat dalam sistem kuasa yang dikongsi dan akauntabiliti bersama.

Penyokong kebebasan mutlak badan kehakiman sering merujuk contoh global, tetapi penglibatan eksekutif dalam pelantikan kehakiman merupakan amalan biasa dalam demokrasi yang kukuh.

Di Singapura, pelantikan hakim dibuat oleh presiden atas nasihat perdana menteri. Di United Kingdom, lord chancellor — satu jawatan politik — masih memainkan peranan rasmi. Di Amerika Syarikat, hakim persekutuan dilantik oleh presiden dan disahkan oleh senat.

Model ini tidak melemahkan kebebasan badan kehakiman — malah mengukuhkannya melalui semak dan imbang institusi, kepercayaan awam dan tanggungjawab bersama.

Beberapa keputusan mahkamah Malaysia baru-baru ini telah menghidupkan semula doktrin struktur asas yang kontroversi, yang membolehkan mahkamah membatalkan undang-undang atas alasan ia melanggar ‘struktur asas’ perlembagaan — suatu konsep yang tidak pernah dikodkan secara jelas.

Doktrin yang diambil daripada India ini telah menimbulkan kebimbangan mengenai penguasaan kehakiman dalam sistem yang sepatutnya seimbang antara tiga cabang kerajaan yang setara.

Di India, frasa ‘kezaliman yang tidak dipilih’ (tyranny of the unelected) digunakan untuk menggambarkan kuasa berlebihan badan kehakiman, dan negara itu kini sedang bergelut dengan kesannya. Malaysia wajar mengambil iktibar sebelum menempuh jalan yang sama.

Jika hakim boleh membatalkan undang-undang berdasarkan prinsip yang tidak bertulis — dan pada masa sama menentukan siapa yang layak menjadi rakan sejawat mereka — kita berisiko mewujudkan monopoli ideologi dalam badan kehakiman yang terpisah daripada tanggungjawab awam.

Sokongan terhadap kebebasan kehakiman adalah difahami — tetapi cadangan yang melampau ini boleh menyebabkan pendulum menghayun terlalu jauh. Daripada menyingkirkan peranan perdana menteri, lebih wajar kita menumpukan kepada penambahbaikan proses pelantikan: memperkukuh SPK, meningkatkan ketelusan dan mewajibkan alasan yang jelas dalam keputusan pelantikan apabila sesuai.

Peranan perdana menteri tidak boleh diketepikan sepenuhnya. Badan kehakiman perlu bebas, ya — tetapi ia juga mesti terus terhubung dengan mandat rakyat melalui proses yang seimbang dan selaras perlembagaan.

Kita tidak mempertahankan kedaulatan undang-undang dengan mengetepikan demokrasi. Kita menegakkannya apabila setiap institusi — kehakiman, eksekutif dan legislatif — melaksanakan peranan masing-masing mengikut rangka kerja perlembagaan yang ditetapkan.

Kebebasan tanpa kawalan bukanlah kekuatan. Ia dalam jangka panjang menjadi ancaman kepada kebebasan yang cuba dilindunginya.

 

Apandi Ali adalah bekas peguam negara.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.