
“Umur manusia singkat, tapi kemanusiaan lama. Lupakanlah kesedihanmu itu dengan lebih giat lagi bekerja. Bekerja untuk kemanusiaan.”
-Petikan daripada novelis Indonesia, Achdiat Karta Mihardja.
Di hari sambutan Thaipusam kelmarin, di mana sambutan kemenangan yang baik ke atas kalahnya kejahatan, saya membaca dua artikel di FMT yang begitu menarik dan bernas.
Kedua-duanya memberi pengajaran yang tinggi kepada pembaca seperti saya, dalam nada meyakinkan, meluahkan perdebatan antara baik dan buruk, dengan kebetulan tema Hari Thaipusam yang mungkin kita tidak menyedarinya.
Cakaplah elok-elok (Ronasina) dan Heartless Malaysians shown up in disabled biker case, Gaza aid (K Parkaran) membawa seruan serius; dalam erti menjadikan perilaku kebaikan untuk menentang kejahatan, atau perlunya sikap murni demi melawan kepalsuan yang bertentangan dengan perikemanusian.
Ronasina, bukan saja seorang ahli pena yang terpuji, dengan kepandaian menulis begitu halus, tetapi beliau adalah seorang pemerhati sosial yang tajam dengan kritikan melawan arus kerakusan, pelbagai keragaman serta ciri ketamakan masyarakat di Malaysia.
Rasa terharu
Saya terharu membaca catatan beliau, dan amat memahami kehidupan diceritakan, serta amat simpati terhadap apa dilaluinya bersama isteri dan anak-anaknya yang tersayang. Saya turut tersebak apabila membaca banyaknya persamaan antara pengalaman beliau dan yang saya sendiri alami di Jakarta lebih sedekad lalu.
Selama hampir empat tahun saya di Ampera Raya, daerah Kemang, yang tidak jauh dari Lebak Bulus, lokasi beliau yang saya amat kenali dan sering kunjungi. Apa yang beliau coretkan tentang perilaku dan kesopanan masyarakat di Jakarta khususnya dan Indonesia amnya, adalah suatu ragam yang jelas dan nyata. Ianya benar belaka.
Kesopanan dan kesusilaan, serta budaya harian yang lebih tulus itulah, yang membezakan rakyat Indonesia dengan rakyat Malaysia, walaupun kita sering dipanggil daripada rumpun sama.
Panggilan ‘bapak’
Sekiranya saya diberi peluang untuk berterus-terang, saya akan nyatakan bahawa perilaku kita sebenarnya lebih kasar, dibandingkan dengan kehalusan yang mereka miliki di sana. Sering kali saya merasakan bahawa kita mempunyai ciri yang memesong kepada keangkuhan dalam banyak segi, dan saya tidak tahu kenapa dan mengapa. Apakah kita merasai lebih ‘atasan’? Tetapi atas dasar apa, mengapa dan bagaimana?
Saya banyak memerhati bahawa mereka di Indonesia, sangat menghormati sesama mereka, dan jika kita ada bersama, penghormatan itu turut diberi dan dirasai oleh kita semua. Kita tidak boleh menganggap bahawa dengan penghormatan itu bererti kita lebih tinggi dari segi darjatnya.
Perlu diingati, Indonesia ialah sebuah republik di mana setiap insan dilihat sama rata statusnya. Dengan panggilan ‘bapak’ atau ‘pak’ untuk kaum lelaki dan ibu untuk kaum wanita, panggilan ini termasuk juga kepada presiden dan juga isterinya, seperti Pak Harto dan Ibu Tien, Pak Jokowi dan Ibu Iriana dan sekarang Pak Prabowo.
Saling membantu
Saya juga memerhati bahawa kita tidaklah selembut mereka dalam percakapan, pertuturan dan pergaulan. Mereka lebih mesra, sering bercanda (atau berjenaka) dan saling membantu antara satu dengan yang lain.
Mereka yang berada sering dilihat membantu mereka yang kurang. Saya tidak melihat banyak kes iri hati, hasad atau dengki dilemparkan oleh mereka yang kurang kepada mereka yang berada. Apa yang saya perhatikan, walaupun bandar rayanya sentiasa sesak dan sentiasa sibuk, penggunanya masih tetap tenang dan tidak gopoh seperti di negara kita.
Amalan dan sikap mereka begitu prihatin terutama kepada mereka yang lebih kecil seperti sepeda atau motosikal dan juga kepada pejalan kaki. Walaupun dalam kesibukan harian, seperti digambarkan oleh penulis Ronasina, yang mengagumkan kita adalah mereka masih boleh berhenti dan memberi ruang dan peluang kepada pengguna jalan raya yang lain.
Kesabaran mereka di merata tempat menakjubkan ramai pemerhati termasuk mereka di peringkat antarabangsa. Bukan setakat di jalan raya, tetapi di banyak tempat lain juga. Ini menjadikan masyarakat kita di Malaysia seperti kurang bertamadun dan sekali gus memalukan negara. Kita sering melihat di Kuala Lumpur dan persekitarannya, bagaimana penunggang motosikal kita tidak langsung menghormati undang-undang jalan raya termasuk melawan lampu isyarat, menunggang di turapan pejalan kaki serta melawan arus trafik.
Ramai antara pelancong yang datang ke negara kita melihat keadaan ini dengan jelas dan menonton perlakuan negatif kita setiap hari. Bukan sahaja kita dianggap tiada disiplin, tidak menghormati undang-undang, malah kita juga dilihat seolah-olah bersikap angkuh dan biadab dari kaca mata mereka.
Membuka ruang diskusi
Saya amat berterima kasih kerana kita masih lagi ada ramai penulis seperti Ronasina dan K Parkaran, yang berani bercerita tentang perasaan dalaman mereka dan apa yang mereka lalui. Ini yang jarang kita lihat dalam banyak penulisan harian sekarang. Banyaknya lebih condong kepada isu populis dan dalam kesibukan harian, mereka mengabaikan isu kemanusian.
Dalam kesibukan itu dan apa yang ditakrifkan sebagai ‘perlumbaan tikus’ di bandar raya besar seperti Kuala Lumpur ini, kita juga kian mengetepikan hal-hal tentang penerapan nilai-nilai sosial ini. Dengan masyarakatnya juga terikut-ikut dengan pudarnya kesopanan, hilangnya kesusilaan dan tiada lagi jiwa serta budaya penyayang untuk diwarisi.
Saya amat bimbang dengan apa yang tersirat; jurang perbezaan sikap, perilaku dan perikemanusian harian masyarakat di Malaysia (seperti apa yang dilaporkan berlaku di Kemaman, Terengganu) dan di Indonesia itu makin melebar dan jauh terpisah.
Saya berharap ramai lagi penulis lain yang akan membuka pintu perbincangan seluas mungkin, untuk mencari jalan dan jawapan ke arah membentuk perilaku masyarakat yang lebih baik, lebih membantu dan lebih penyayang, demi membina kebaikan untuk generasi masa depan.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.