Kaji operasi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan

Kaji operasi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan

Sejak penubuhan pada 2012 YBGK beri perkhidmatan mantap kepada individu terlibat kes jenayah.

Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan

Media melaporkan bahawa kerajaan pada awal Februari menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengkaji pelaksanaan Pusat Mediasi Madani (PMM) dan ini merupakan langkah yang betul ke arah mempelbagaikan saluran penyelesaian persengketaan serta pertikaian dihadapi masyarakat umum.

Dalam bahasa mudah difahami, mediasi (pengantaraan) ialah proses persemukaan yang dipimpin oleh pengantara (mediator) terlatih dengan kehadiran kedua-dua (semua) pihak yang mempunyai pertikaian, di mana mediator akan membantu kedua-dua pihak untuk saling memahami permasalahan atau kesulitan pihak yang satu lagi (the opposing party) dan setelah itu bersama mencari penyelesaian berkesan, boleh diterima dan boleh dilaksanakan oleh kedua-dua pihak.

Penyelesaian yang dicapai melalui proses mediasi kebanyakannya bukan berasaskan hak dan kedudukan undang-undang seperti keputusan mahkamah, tetapi berpandukan keadaan unik setiap pertikaian tersebut dan diputuskan sendiri oleh pihak-pihak dalam sesi mediasi, di mana mediator bertindak sebagai fasilitator.

Sebagai contoh, sesi mediasi yang efektif akan dapat mencungkil mengapa jiran kita memasang radio dengan kuat setiap hari (kemungkinan jiran mempunyai masalah kelemahan pendengaran dan cadangan penggunaan alat bantuan pendengaran dapat menyelesaikan isu) dan mengapa kontraktor utama gagal membayar subkontraktor selepas selesai kerja (kemungkinan kontraktor utama sedang cuba menyelamatkan satu projek lain di mana perkhidmatan subkontraktor boleh digunakan oleh kontraktor utama dan ini akan memperluaskan peluang pendapatan bagi kedua-dua pihak).

PMM harus mempunyai matlamat merakyatkan proses penyelesaian pertikaian melalui mediasi di negara kita, lebih-lebih lagi dengan keunikan masyarakat yang mempunyai pelbagai bangsa, agama dan budaya. Kerajaan tidak mampu untuk terus-menerus menghabiskan masa menangkis polemik berpunca daripada salah faham kecil tetapi menjadi tidak terkawal kerana faktor tular, dan kadangkala diambil kesempatan politik. Pemimpin negara kita dibayar gaji untuk menjalankan kerja hakiki mereka, iaitu mengurus hal ehwal negara dan tidak harus dibebani dengan tugas menjadi pendamai atau ‘ahli bomba’ memadam api tular yang tidak berfaedah kepada negara.

Oleh yang demikian, peranan dan operasi PMM menjadi sangat relevan dan penting. Bagi mencapai impak maksimum penyelesaian pertikaian melalui mediasi, PMM disaran mengkaji dan mempertimbangkan rangka operasi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Berhad kerana YBGK sejak penubuhan pada 2012 telah terus menerus memberikan perkhidmatan undang-undang yang mantap kepada mereka yang terlibat dengan kes jenayah di mana tanpa kewujudan YBGK, lebih 70% daripada mereka tidak akan mendapat apa-apa bentuk nasihat undang-undang atau diwakili peguam di mahkamah.

PMM boleh beroperasi sebagai entiti nasional atau boleh beri pertimbangan untuk mewujudkan Yayasan Mediasi Kebangsaan (YMK) Berhad, dengan dana operasi disuntik oleh kerajaan (sama seperti YBGK) dan mediator terlatih serta berdaftar dengan PMM atau YMK ditugaskan untuk memberikan perkhidmatan mediasi di seluruh negara. Sama seperti YBGK, mediator bawah PMM atau YMK harus dibayar perkhidmatan mereka, walaupun tidak sebanyak mediator yang menjalankan mediasi kes komersial.

Manfaat jangka panjang (lima hingga 10 tahun) menjadikan mediasi sebagai cara penyelesaian pertikaian diterima masyarakat umum di negara kita melalui inisiatif PMM akan dapat dilihat serta dirasai apabila toleransi sesama jiran menjadi lebih tinggi atau, secara statistik, kes baharu difailkan di mahkamah mula menunjukkan trend menurun.

Tiada jalan pintas atau ubat mujarab dalam menjadikan mediasi sebagai sebahagian daripada cara kita menyelesaikan pertikaian tanpa melibatkan proses mahkamah. Usaha keras PMM dan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan mediasi sahaja yang mampu mentransformasi komuniti kita kepada masyarakat Madani yang sebenarnya, dan tidak berhenti setakat laungan slogan atau kelunakan lagu bertemakan Madani.

 

PL Cheah adalah pembaca FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.