Sebatan di khalayak kerana khalwat dan ruh sebenar syariah Islam

Sebatan di khalayak kerana khalwat dan ruh sebenar syariah Islam

Islam secara fundamental adalah agama rahmah dan belas kasihan. Maka, rahmah seharusnya menjadi prinsip panduan dalam segala pelaksanaan syariah.

muktafi

Kami membaca pelbagai laporan mengenai sebatan di khalayak terhadap seorang lelaki atas kesalahan khalwat bersama kenalan berlainan jantina dengan penuh kekesalan. Islam yang diketahui sebagai agama rahmah dan belas kasihan telah diejek sebagai ganas dan jahat.

Walaupun kami faham bahawa tujuan hukuman itu adalah untuk menunjukkan komitmen kerajaan Terengganu dalam memperkasa hukum Islam, dan mendidik masyarakat awam bersesuaian dengan perintah Allah; namun kami berdiri teguh dengan Mufti Perlis Asri Zainul Abidin, bahawa tiada peraturan khusus dalam hukum syariah yang menghukum kesalahan khalwat untuk dikenakan sebatan di khalayak. Sebaliknya, tujuan hukum syariah adalah untuk menggalakkan agar menyembunyikan aib peribadi seseorang individu.

Adakah menyebat seseorang individu disebabkan khalwat (secara literalnya bermaksud pertapaan, yang memiliki konotasi positif dalam tradisi Islam) yang dianggap boleh menimbulkan syak wasangka berlaku maksiat menjadikan kita sebagai pembela Islam, atau sebaliknya tindakan itu menyebabkan berlaku penyelewengan terhadap semangat sebenar hukum syariah?

Lupakah kita terhadap Nabi sendiri yang teragak-agak untuk mengenakan hukuman hadd (mufrad bagi hudud) terhadap penzina yang mengakui akan dosanya?

Apabila Ma’iz al-Aslami mengakui bahawa dia telah berzina kepada baginda Nabi. Nabi enggan melayani Ma’iz dalam perbualan tersebut dan memalingkan wajahnya. Meskipun kami sedia maklum bahawa terdapat pelbagai riwayat bagi hadis tersebut, namun apa yang berlaku adalah Nabi pada akhirnya bertanya – selepas memalingkan mukanya untuk kali keempat sama ada Ma’iz gila atau tidak. Kemudian, Nabi bertanya pula pada Ma’iz sama ada dia benar-benar faham tentang maksud zina, atau ‘mungkin kamu hanya menciumnya, atau mengenyit mata kepadanya, atau mengendapnya?’ Pada akhirnya, Nabi bertanya kepada Ma’iz atau kenalannya sama ada dia sudah berkahwin ataupun tidak.

Usaha Nabi memalingkan muka daripada Ma’iz dan tidak mengendahkannya boleh ditafsirkan sebagai keengganan yang sangat tinggi untuk mengenakan hukuman hadd. Ia mencerminkan suatu tujuan yang jelas untuk mengizinkan Ma’iz agar berfikir semula dan dibiarkan berseorangan supaya dia dapat bertaubat.

Bandingkan tindakan mulia Nabi dengan pendekatan ala Taliban oleh PAS. Meskipun kami teragak-agak untuk membuat perbandingan secara langsung itu, namun hal ini tanpa ragu lagi merupakan tindakan meletakkan keutamaan bukan pada tempatnya. Daripada memberikan penumpuan kepada hukum jenayah, sepatutnya kita perlu menangani isu yang lebih mendesak – seperti menyelesaikan hal ehwal perceraian dan nafkah di Mahkamah Syariah yang belum selesai, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan atau menawarkan keperluan asas seperti air bersih dan rumah mampu milik.

Apabila terdapat ramai lagi orang yang masih tinggal di perkhemahan sementara selepas banjir yang telah menjadi seakan acara tahunan; apabila isu air bersih lagi jernih masih lagi menjadi masalah utama; dan apabila belia kita berdepan kadar penyalahgunaan dadah dan pengangguran tinggi; keutamaan terhadap mengenakan hukuman terhadap kesalahan peribadi bukan sahaja merupakan tindakan yang tidak sesuai, bahkan turut memaparkan kurangnya kefahaman terhadap Fiqh Awlawiyyat (fiqh keutamaan).

Tujuan utama syariah – seperti mana-mana sistem perundangan lain – adalah untuk menegakkan keadilan dan mempromosi kebajikan manusia. Syariah – yang tidak diwartakan – memerlukan agensi manusia untuk bertindak menghampiri keadilan tuhan. Ketika manusia boleh melakukan kesilapan dalam proses ini, maka adalah lebih baik untuk berlaku silap dalam belas kasihan, berbanding dalam kekejaman yang berselindung di sebalik kehendak tuhan.

Perlu ditekankan di sini bahawa ahli psikologi perubatan turut berpendapat bahawa tahap kekusutan daripada sebatan di khalayak akan meninggalkan kesan psikologi yang boleh membawa kepada kecelaruan pemikiran dan ideasi membunuh diri mahupun perbuatan bunuh. Sebatan di khalayak awam juga akan menyebabkan isu kesihatan mental seperti kemurungan dan gangguan tekanan pasca trauma (post-traumatic stress disorder).

Hakikatnya, sebatan awam untuk khalwat adalah tidak berasas dalam syariah. Menolak sebatan awam bagi kesalahan sedemikian tidak sepatutnya dilihat sebagai menolak prinsip Islam.

Al-Quran adalah sangat jelas dalam isu ini. Al-Quran melarang tindakan mengintip – seperti dalam kes menegakkan kesalahan khalwat – atau dalam istilah Qur’anik, tajassus. Dalam Surah al-Hujurat ayat 12, Allah berfirman:

“Wahai kamu yang telah mencapai keimanan! Jauhi semua prasangka [tentang satu sama lain] – kerana, saksikanlah, sebahagian dari prasangka [itu] adalah [sendirinya] suatu dosa; dan jangan mengintip satu sama lain, dan jangan benarkan dirimu memperkatakan keburukan sesamamu di belakang kamu.” [Al-Quran; 49:12]

Ayat tersebut memaparkan perintah yang jelas dalam al-Quran yang melarang sebarang bentuk intipan demi menghukum dosa-dosa peribadi. Majlis agama di Terengganu, dan negeri lain bawah Perikatan Nasional ataupun Pakatan Harapan, perlu mengambil perhatian terhadap perintah Tuhan ini dan menghentikan sebarang amalan keji seperti intipan terhadap khalwat, yang mana perkara ini jelas diharamkan dalam al-Quran.

Mengenakan hukuman keras tidaklah menjadikan kita lebih Islamik pada pandangan Tuhan. Islam adalah tentang keadilan, rahmah, dan hikmah. Kita mesti bertanyakan kepada diri kita sendiri: Bukankah tugas kita adalah untuk menyebarkan keadilan berlandaskan al-Quran?

Seperti Ibn Qayyim al-Jauziyyah, seorang murid Ibn Taimiyyah yang terkenal, telah menulis dalam bukunya I’lam al-Muwaqi’in:

“Asas syariah adalah hikmah dan menjaga kepentingan masyarakat di dunia ini dan pada hari akhirat. Semuanya adalah tentang keadilan, rahmah, dan hikmah. Setiap hukum yang mengabaikan keadilan kepada tirani; rahmah kepada kekejaman; baik kepada jahat; dan hikmah kepada pelecehan bukanlah datang daripada syariah; walaupun secara tersiratnya ia diperkenalkan secara sedemikian.”

Ibn Qaiyyim juga berkata:

“Syariah adalah keadilan dan rahmat Tuhan dalam kalangan umat-Nya. Kehidupan, pemakanan, perubatan, pemulihan dan kebaikan adalah wujud disebabkan olehnya. Setiap kebaikan yang wujud berasal daripadanya, dan setiap kekurangan adalah akibat daripada kehilangan dan pemborosannya. Sebab itulah syariah yang diamanahkan oleh Tuhan kepada Nabi-Nya untuk disampaikan adalah tiang kepada dunia ini dan kunci kejayaan serta kebahagiaan di dunia dan akhirat.”

Islam secara fundamentalnya adalah agama rahmah dan belas kasihan. Maka, rahmah seharusnya menjadi prinsip panduan dalam segala pelaksanaan syariah.

 

Arief Subhan memiliki MA religion in global politics dari SOAS University of London. Beliau adalah felo penyelidik di Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya.

Dr Ahmad Farouk Musa memiliki PhD dalam bidang surgeri dari Monash University Australia dan calon kedoktoran dalam pengajian Islam dari Universiti Muhammadiyah Malaysia. Beliau adalah pengasas dan pengarah di Islamic Renaissance Front.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.