Bagaimana jadikan Malaysia utamakan inovasi

Bagaimana jadikan Malaysia utamakan inovasi

Malaysia perlu mengutamakan teknologi dan inovasi untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

kl skyline

Perkara nombor satu yang harus dicita-citakan Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi. Tiada yang lebih baik daripada itu.

Ada yang mengatakan wang tidak memperbaiki segala-galanya, tetapi sejarah menunjukkan ia hampir betul. Menjadi negara berpendapatan tinggi adalah cara tepat untuk memberikan banyak faedah untuk rakyat Malaysia setiap hari.

Lagipun, mereka yang tinggal di negara berpendapatan tinggi umumnya mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna, kualiti pendidikan lebih tinggi, banyak peluang kerjaya dan mobiliti, tahap keselamatan diri yang lebih tinggi dan infrastruktur awam mantap.

Ini sepatutnya menjadi matlamat kita. Mari jadikan Malaysia kaya.

Tetapi saya tahu apa yang anda katakan. Sudah terang lagi bersuluh. Anda betul, sama ada secara tersurat atau tersirat kita tahu bahawa jika Malaysia menjadi negara kaya, ia bagus untuk kita semua. Tetapi persoalan utamanya, bagaimana kita boleh capainya?

Cara yang pasti untuk menjadi sebuah negara yang kaya adalah dengan mengutamakan sains, teknologi dan inovasi kerana tidak ada sektor lain yang mempunyai potensi besar dan pulangan ekonomi seperti yang boleh dilakukannya.

Berikut adalah tiga perkara yang boleh kita lakukan untuk meningkatkan pengeluaran inovasi dan, sejajar dengan itu, melonjakkan Malaysia ke peringkat atasan negara paling makmur di dunia:

1. Bina pusat sains, muzium dan planetarium di seluruh negara

Salah satu kenangan zaman kanak-kanak terindah saya ialah mengunjungi Planetarium Negara di Taman Botani Perdana bersama ayah saya. Saya mendapati menakjubkan dan hebat sekali gus menanam dalam diri terhadap daya tarikan sepanjang hayat dengan sains.

Petrosains di KLCC juga merupakan kegemaran saya. Pameran interaktif dan penerangan mesra kanak-kanak memainkan peranan penting dalam mencetuskan rasa ingin tahu saya tentang dunia semula jadi.

Malangnya, kita tidak mempunyai institusi sedemikian yang cukup di negara ini.

Bayangkan berapa ramai kanak-kanak yang akan teruja dan ‘mudah terpengaruh’ bagi mengembangkan minat sepanjang hayat terhadap sains dan teknologi jika kita mempunyai muzium dan planetarium sains lebih besar dan luas di seluruh negara, bukannya tertumpu di Kuala Lumpur.

Inilah yang perlu kita lakukan. Kita bukan sahaja perlu meningkatkan bilangan muzium secara besar-besaran, tetapi kita juga perlu meluaskan perkara yang dibincangkan – daripada astronomi kepada arkeologi, botani, sejarah semula jadi dan juga teknologi canggih.

Muzium kita harus direka bentuk dengan cantik, disepadukan dengan kedai beli-belah berkaitan sains dan teknologi, serta menampilkan pelbagai restoran.

Tempat-tempat ini sepatutnya sangat menarik sehingga ramai rakyat Malaysia akan memilih untuk mengunjunginya bersama anak-anak mereka berbanding pusat membeli-belah yang menjadi ketagihan mereka ketika ini.

Ia juga tidak adil bahawa muzium dan tempat berkaitan sains banyak tertumpu di Kuala Lumpur.

Bagaimana dengan banyak lagi di luar bandar Kedah, Kelantan, atau Sabah? Setiap negeri berhak mendapat muzium dan pusat sains yang menjadi hab budaya dan intelektual untuk diterokai dan dipelajari oleh kanak-kanak.

2. Menerapkan budaya inovasi, keusahawanan di sekolah

Malaysia perlu mengadakan program ‘bootcamp’ di sekolah untuk memupuk inovasi, pemikiran luar kotak dan kreativiti sejak usia muda.

Pendedahan awal kepada kemahiran keusahawanan melengkapkan pelajar dengan minda yang diperlukan untuk mengemudi ekonomi global yang berkembang pesat.

Menerusi program itu, pelajar boleh mempelajari asas penciptaan perniagaan, penyelesaian masalah dan inovasi, menyediakan platform memupuk kemahiran ini.

Dengan menyepadukan pendidikan keusahawanan ke dalam sistem sekolah, Malaysia boleh memupuk generasi pemikir dan pelaku yang bersedia untuk menerima risiko, menguji keupayaan diri dan memimpin dalam kemajuan teknologi.

Pengajaran keusahawanan lebih awal menggalakkan pemikiran kritis dan kreativiti, kerana ia menggalakkan pelajar mendekati cabaran dengan cara baharu. Bootcamp itu menyediakan pengalaman praktikal yang melibatkan mencari idea, prototaip dan melancarkan projek berskala kecil.

Pendekatan praktikal ini bukan sahaja mengajar pelajar tentang kaedah memulakan perniagaan tetapi juga melatih mereka berfikir secara kreatif dan menyelesaikan masalah dunia sebenar. Persekitaran sedemikian secara semula jadi memupuk inovasi, sambil pelajar belajar untuk melihat melangkaui penyelesaian tradisional dan meneroka perkara baharu.

Selain itu, memperkenalkan ‘bootcamp’ pada usia muda menyemai budaya mengambil risiko dan berdaya tahan. Keusahawanan secara semulajadi adalah mengenai pengambilan risiko yang dikira, menangani ketidakpastian dan belajar daripada kegagalan.

Dengan mendedahkan pelajar kepada pengalaman ini lebih awal, Malaysia boleh membina generasi pencipta yang berani dan tidak gentar untuk mencabar status quo atau meneroka sempadan teknologi baharu.

Budaya eksperimentasi dan pengambilan risiko yang dikira ini akan memacu negara ke hadapan, memupuk kejayaan dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), bioteknologi dan tenaga boleh diperbaharui.

3. Banyakkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D)

Inovasi teknologi ialah pemacu kritikal pertumbuhan, daya saing dan kemampanan.

Dengan mengutamakan R&D, Malaysia boleh membina asas yang kukuh untuk mencipta kejayaan dalam sektor seperti AI, bioteknologi, tenaga boleh diperbaharui dan banyak lagi. Pelaburan ini bukan sahaja akan memacu pertumbuhan ekonomi tempatan tetapi juga meletakkan Malaysia sebagai pemain utama di peringkat global.

Melabur dalam R&D memupuk budaya inovasi, di mana inkuiri saintifik, eksperimen dan penyelesaian masalah kreatif menjadi teras kepada strategi pembangunan negara. Ia menggalakkan universiti, institusi penyelidikan dan industri swasta untuk bekerjasama dalam menjana idea, proses dan teknologi baharu.

Negara-negara yang mengutamakan R&D, seperti Korea Selatan dan Jerman, telah menunjukkan bagaimana pelaburan konsisten dalam inovasi boleh membawa kepada produk dan penyelesaian bertaraf dunia yang menguasai pasaran antarabangsa.

Bagi Malaysia, peningkatan pelaburan R&D akan menarik bakat global terkemuka dan mengekalkan pakar tempatan, mewujudkan ekosistem yang bertenaga di mana inovasi berkembang maju. Ini, seterusnya, boleh mencetuskan penciptaan syarikat permulaan tempatan, meningkatkan daya saing industri yang mantap dan memacu penciptaan pekerjaan bernilai tinggi.

Di samping itu, pelaburan yang disasarkan dalam R&D boleh meletakkan Malaysia untuk menyelesaikan cabaran mendesak dalam bidang seperti perubahan iklim, penjagaan kesihatan dan AI.

Selain itu, pelaburan dalam R&D akan meningkatkan keupayaan Malaysia untuk mencipta teknologi pertama dunia yang menetapkan standard global baharu, memberikan negara kelebihan daya saing dalam pasaran antarabangsa.

Sebagai contoh, kejayaan dalam teknologi hijau boleh menjadikan Malaysia peneraju dalam kemampanan, manakala kemajuan dalam AI boleh meletakkannya di barisan hadapan dalam revolusi digital.

Langkah-langkah yang diperincikan di atas akan sangat membantu ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengutamakan inovasi dan dalam beberapa dekad akan datang, mengubah kita menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi yang menewaskan dunia. Mari mengejarnya!

 

Penulis boleh dihubungi di [email protected].

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.