
Malaysia sebuah negara yang menjunjung keadilan dan kebajikan, namun masih ramai kanak-kanak di Malaysia dibiarkan terabai, dipinggirkan daripada kehidupan yang sepatutnya mereka nikmati. Kes demi kes saban hari membuktikan bahawa isu perlindungan kanak-kanak masih jauh daripada keutamaan masyarakat. Ke mana hilangnya tanggungjawab kita terhadap anak-anak kita?
Kes eksploitasi anak-anak dalam kultus GSIB
Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan kes 402 kanak-kanak diselamatkan oleh polis daripada eksploitasi kultus GSIB. Sejak 2011, sebanyak 41 laporan polis telah difailkan terhadap kumpulan ini, namun hanya kini tindakan tegas diambil.
Persoalannya, di mana sistem yang sepatutnya melindungi kanak-kanak ini daripada eksploitasi yang berlarutan selama bertahun-tahun? Bagaimana mungkin hak mereka untuk hidup bebas dan dilindungi terabai sekian lama?
Tahap kesedaran masyarakat terhadap pengantunan kanak-kanak
Kes seorang pemandu bas sekolah yang merakam kanak-kanak tanpa kebenaran dan mengeluarkan komen berbaur seksual di media sosial baru-baru ini juga menonjolkan satu lagi kegagalan kita sebagai masyarakat.
Lebih mengejutkan, ada kumpulan yang menyokong individu tersebut, malah mengumpul dana bagi membantu tertuduh yang sedang disiasat. Ini menggambarkan betapa rendahnya kesedaran masyarakat terhadap bahaya pengantunan (grooming) dan perlindungan kanak-kanak.
Terlalu banyak perkara yang dianggap remeh dan normal apabila melibatkan keselamatan kanak-kanak, walhal ia seharusnya menjadi keutamaan utama.
Penderaan bayi dan kanak-kanak di pusat jagaan
Setiap kali kita membaca tentang penderaan bayi dan kanak-kanak di taska, hati kita tersentak. Namun, apakah perubahan yang dilakukan?
Walaupun ada desakan untuk memperketat undang-undang setiap kali insiden berlaku, kes sebegini terus berulang. Bayi-bayi ini tidak berdaya mempertahankan diri mereka, dan mereka menjadi mangsa keganasan yang menghancurkan masa depan serta meninggalkan trauma yang berkekalan.
Hak kewarganegaraan dan identiti kanak-kanak tidak berwarganegara
Anak-anak yang lahir di negara ini, tetapi ibu bapa mereka mempunyai masalah dokumentasi, terus terperangkap dalam limbo kewarganegaraan. Mereka membesar di Malaysia, tetapi hak-hak asasi mereka – seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, dan kehidupan yang bermaruah – dinafikan.
Ambil contoh kes Sabrin, seorang pemuda Sabah yang dilahirkan, dibesarkan dan seluruh hidupnya hanya di Malaysia, namun dalam perjalanan pulang mencari rezeki menyara keluarga, Sabrin ditahan kerana tidak memiliki dokumen sah. Beliau merayu di mahkamah bahawa dirinya pencari nafkah utama untuk adik-beradiknya yang masih bersekolah, namun beliau tetap dipenjarakan.
Adakah kita hanya mampu menonton anak-anak ini terjerat dalam kitaran kemiskinan dan ketidakadilan, tanpa ada jalan keluar?
Apa yang kita boleh lakukan?
Perlindungan kanak-kanak memerlukan tindakan menyeluruh dan segera. Kita tidak boleh lagi bertangguh jika mahu mengubah nasib mereka yang terpinggir ini.
1. Penambahbaikan dan penguatkuasaan undang-Undang perlindungan kanak-kanak
Kerajaan mesti memperketat undang-undang serta memastikan penguatkuasaan lebih berkesan untuk melindungi kanak-kanak daripada ancaman seperti pemerdagangan, penderaan fizikal, seksual, dan psikologi.
2. Kesedaran dan pendidikan masyarakat
Pendidikan yang berterusan diperlukan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang betapa pentingnya melindungi kanak-kanak. Suatu perubahan budaya harus dimulakan, di mana keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak dijadikan keutamaan setiap individu, bukan sahaja ibu bapa tetapi juga komuniti secara keseluruhan.
3. Menyelesaikan isu kewarganegaraan
Isu kewarganegaraan kanak-kanak yang lahir dan membesar di Malaysia perlu diselesaikan dengan segera. Kanak-kanak ini berhak mendapatkan status kewarganegaraan yang sah agar mereka dapat menikmati pendidikan, penjagaan kesihatan, dan peluang untuk masa depan yang lebih baik dan bermaruah.
4. Sokongan untuk institusi kanak-kanak
Taska dan institusi penjagaan kanak-kanak perlu dipantau dengan ketat dan diberi sokongan untuk memastikan keselamatan mereka sentiasa terjamin. Kita memerlukan pengasuh kanak-kanak yang berkelayakan dan profesional, dan sijil profesionalisme perlu diwajibkan bagi semua yang bekerja dalam sektor ini.
Kanak-kanak ialah hari ini dan masa depan negara, dan tanggungjawab memastikan mereka dibesarkan dalam persekitaran yang selamat dan bermaruah ialah tanggungjawab kita semua. Jika kita membiarkan mereka terus terpinggir, kita sebenarnya membiarkan masa depan negara ini musnah.
Sudah tiba masanya kita bertindak – tidak hanya dengan kata-kata, tetapi dengan tindakan nyata – untuk mengembalikan hak-hak kanak-kanak Malaysia yang terpinggir ini.
Siti Rahayu Baharin, lebih dikenali sebagai Cikgu Rahayu, ialah pengasas bersama Buku Jalanan Chow Kit.
Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.