Nak jaga ‘poket’ penyeludup lagi?

Nak jaga ‘poket’ penyeludup lagi?

Sebelum penyasaran subsidi diesel, ada sindiket penyeludup meraih keuntungan menjual bahan api itu yang dibeli pada harga RM2.15 seliter.

diesel

Hampir sebulan penyasaran subsidi diesel dilaksanakan sejak 10 Jun lalu di Semenanjung Malaysia, kesan awal mula dilihat apabila ketirisan berlaku selama ini berjaya dikurangkan.

Ketirisan berlaku dalam beberapa keadaan antaranya sama ada bahan api diseludup atau dinikmati kumpulan tidak layak menikmati subsidi. Jumlah perbelanjaan mungkin berbilion ringgit yang sepatutnya boleh dimanfaatkan kepada kemudahan lain untuk rakyat.

Bagi diesel sahaja, kerajaan menyediakan belanja RM14 bilion untuk menstabilkan harganya kepada RM2.15 seliter sebelum diselaras kepada RM3.35 menerusi penyasaran subsidi. Langkah itu dijangka menjimatkan RM4 bilion setahun.

Bayangkan jika penyasaran subsidi tidak dibuat sebahagian besar wang itu mungkin masuk pula ke ‘poket’ dalang penyeludup. Mereka berkemungkinan masih bebas menjual diesel bersubsidi ke negara jiran seperti Thailand yang harganya sekitar RM4.20 seliter.

Pendek kata subsidi diharapkan dapat menstabilkan harga bahan api itu menjadi punca pula untuk menambah ‘kekayaan’ oleh kumpulan tidak bertanggungjawab.

Mengikut jawapan Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan pada sidang Dewan Rakyat 2 Jul lalu, jualan purata harian di stesen minyak Semenanjung Malaysia berkurang lebih 30% dan stesen di kawasan sempadan turun lebih ketara iaitu di antara 40% dengan 50%.

Perbandingan jualan runcit diesel sebelum dan selepas penyasaran semula subsidi itu memberi tanda awal pengurangan penyeludupan. Menurut Amir, penetapan harga runcit kepada paras harga pasaran tanpa subsidi mencapai hasil kerana langkah itu mengurangkan sebab untuk menyeludup.

Malah tinjauan media di beberapa stesen minyak yang terletak berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam mendapati tidak banyak kenderaan bernombor pendaftaran Thailand yang mengisi diesel di stesen berkenaan.

‘Ketirisan senyap’ juga dapat dibongkar menerusi pengapungan harga diesel yang membuktikan ada kumpulan sektor tidak layak turut menikmati subsidi. Mungkin inilah menyebabkan mengapa perbelanjaan negara meningkat ketara saban tahun.

Mengikut rekod Kementerian Kewangan, perbelanjaan untuk menyediakan subsidi diesel meningkat mendadak daripada RM1.4 bilion lima tahun lalu menjadi RM14 bilion kini (tidak termasuk sebelum penyasaran subsidi).

Lebih menghairankan jumlah penggunaan diesel bersubsidi meningkat daripada 6.1 bilion pada 2019 kepada 10.8 bilion tahun lalu sedangkan peningkatan bilangan kenderaan diesel aktif hanya sekitar 3%.

Ini jelas menunjukkan ketirisan penggunaan diesel bersubsidi, sama ada penyeludupan rentas sempadan atau penggunaan oleh sektor industri yang sepatutnya beli diesel pada harga pasaran.

Namun di media sosial termasuk disuarakan pemimpin pembangkang, ada mempersoalkan alasan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi disebabkan mahu mematahkan kegiatan penyeludupan, selain menuduh seolah-olah tiada lagi subsidi disediakan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan perkara itu tidak benar memandangkan kerajaan masih menanggung sekitar RM7 bilion subsidi berkaitan diesel di Semenanjung Malaysia. Tegasnya, apa yang dibuat kerajaan adalah untuk memastikan pengurusan subsidi lebih cekap.

“Tujuan utama dalam dasar penyasaran subsidi diesel ini adalah memastikan pembaziran subsidi tidak lagi diteruskan sambil memastikan penjimatan mesti dipulangkan kepada rakyat terbanyak,” katanya pada 17 Jun lalu.

Perbelanjaan itu mungkin turut merangkumi bantuan diesel bersubsidi kepada pengangkutan awam dan syarikat pengangkut untuk memastikan kesan pelarasan tidak menyebabkan harga barang dan perkhidmatan dinaikkan.

Selain itu, hakikatnya tanpa penyasaran subsidi mungkin trend negara mengalami kerugian RM4.5 juta akibat ketirisan tiga juta liter diesel akan berterusan seperti didedahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali, Februari lalu

Dari kaca mata ahli akademik dalam bidang ekonomi, Barjoyai Bardai, penyasaran subsidi boleh menjadi kunci untuk mengatasi isu penyalahgunaan bahan bakar yang melarat selama lebih 15 tahun.

“Ketirisan paling teruk berlaku pada diesel dan RON95, kalau dapat diatasi mungkin sebahagian besar RM40 bilion diperuntuk dalam Belanjawan 2024 dapat diselamatkan,” katanya.

Bagi memastikan ketirisan ini dapat dikurangkan, selain mengapungkan harga, kerajaan juga perlu meningkatkan penguatkuasaannya. Seperti kata Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School, kerjasama antara agensi perlu diperkemas.

“Kita perlu hapus ketirisan jika benar-benar ingin setiap subsidi sampai kepada golongan memerlukan,” tegasnya.

Namun dari satu aspek pula, mungkin permohonan bantuan wang tunai RM200 sebulan menerusi Budi Madani baik untuk orang perseorangan atau kumpulan petani serta pekebun kecil perlu diperbaiki kerana ada dakwaan wujud kesukaran memohonnya terutama kekangan dari segi syarat.

Pendek kata, bukan mudah melaksanakan penyasaran subsidi kerana pasti ada suara membantah. Namun, jika tidak dibuat sekarang mungkin ‘membengkakkan’ lagi ketirisan sehingga menjejaskan perbelanjaan lain memanfaatkan rakyat.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.