KL20: Kejayaan segera atau anjakan paradigma?

KL20: Kejayaan segera atau anjakan paradigma?

KL20 berpotensi berjaya namun untuk mencapainya Malaysia perlu mencontohi Ireland, satu kisah kejayaan dalam bidang teknologi yang mungkin sukar dipercayai.

Sidang Kemuncak KL20 yang dipelopori Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, diibaratkan satu maha karya penuh glamor yang menggambarkan peragaan ala Malaysia. Ia satu usaha bagi menarik pelbagai pelabur dan pengasas asing dengan mengetengahkan kemeriahan dan keramahan Malaysia.

Bagaimanapun, seperti kita semua sedia maklum, Malaysia tidaklah bebas daripada isu negatif. Ini dicerminkan dalam sentimen umum populasi Malaysia dengan ramai yang berpandangan pesimis terhadap arah tuju negara ini seperti ditunjukkan dalam kaji selidik Ipsos Malaysia baru-baru ini.

Namun, sesuatu yang mampu membaiki perkara ini adalah kenaikan gaji secara menyeluruh.

Ini hanya boleh dicapai dengan satu cara, iaitu untuk syarikat yang menguntungkan ‘bermastautin’ di Malaysia.

Contoh terbaik – syarikat-syarikat paling menguntungkan tidak lain gergasi Lembah Silikon seperti Apple, Google, Nvidia, Tesla dan Meta. Dan disebabkan itu juga gaji dibayar kepada pekerja mereka antara yang tertinggi di dunia.

Graduan baharu yang menyertai Google mampu meraih gaji setinggi RM 73,000 (USD15,000) sebulan. Ini jauh menjangkaui gaji purata AS iaitu sekitar RM17,600 (USD3,600). Tidak perlulah kita bandingkan pula dengan gaji purata graduan baharu di Malaysia.

Kenapa perbezaan yang begitu ketara ini? Kerana syarikat teknologi, khususnya yang bersifat separa monopoli menikmati margin keuntungan hebat yang mampu membuatkan syarikat dalam industri lain tertunduk malu.

Disebabkan itulah mereka mampu membayar gaji begitu tinggi kepada pekerja mereka.

Jadi mungkin anda tertanya, apa pucuk pangkalnya? Pucuk pangkalnya adalah, satu-satu cara untuk mengubah takdir negara kita dan sentimen umum hanyalah dengan melahirkan atau menarik syarikat teknologi yang amat menguntungkan, malah lebih baik lagi gergasi yang mampu memonopoli industri masing-masing.

Dan KL20 mungkin dapat menjadi pencetus ke arah ini.

Rafizi memberi gambaran jelas mengenai sasarannya untuk KL20. Ia bukan sekadar acara sia-sia ebaliknya, memetik beliau sendiri: “KL20 mewakili cita-cita kita untuk membawa Malaysia [menjadi salah satu] daripada ekosistem syarikat pemula niaga 20 terbaik dunia. Pelan tindakan KL20 menggariskan inisiatif baharu yang akan mempercepatkan bidang kritikal ekosistem merangkumi modal, bakat, dan kualiti syarikat pemula niaga.”

Inilah usaha keseluruhan kerajaan yang berkemampuan membuahkan hasil. Namun bukan mudah untuk menjadi ekosistem syarikat pemula niaga 20 terbaik dunia. Lagipun, usaha kerajaan terdahulu seperti Koridor Raya Multimedia (MSC), Cyberjaya dan Taman Teknologi Malaysia (TPM) telah cuba menjadikan KL hab syarikat pemula, namun malangnya langsung tidak berjaya.

Bagaimana untuk memastikan keadaan kali ini berbeza? Dengan mencontohi sebuah negara yang mungkin langsung tidak terlintas dek akal fikiran – Ireland.

Ya, saya dapat baca apa dalam fikiran anda. Mana ada syarikat hebat dari Ireland. Ya benar tetapi ada sesuatu di ibu negara, Dublin, yang menjadikan bandar itu amat kaya.

Di sinilah bertapaknya ibu pejabat syarikat gergasi teknologi Lembah Silikon Eropah – Apple, Meta, Google, AirBnB dan X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter). Akibatnya pusat bandar Dublin kini digelar Silicon Docks (pelabuhan silikon). Terima kasih kepada “lubuk wang” bertapak di situ, Ireland bakal meraih lebihan belanjawan RM 51 bilion tahun ini, iaitu 3.5% pendapatan negara. Jumlah itu dijangka bertambah berlipat kali ganda menjelang 2026.

Apakah rahsia Ireland dalam menarik syarikat gergasi teknologi ini? Kadar cukai syarikat sekadar 12.5% – yang kini meliputi 25% daripada semua hasil cukai, berbanding kurang daripada 10% di seluruh Eropah. Sebaliknya, Malaysia mengenakan kadar cukai syarikat hampir dua kali ganda berbanding Ireland iaitu 24%.

Malah untuk memastikan lebih menarik lagi, Ireland membenarkan Apple – sebelum ini syarikat terbesar dunia – membayar cukai syarikat begitu rendah iaitu hanya 0.005%. Ini mungkin nampak seperti tindakan bodoh, namun hakikatnya Ireland bertindak bijak – jika negara lain ibarat bermain dam, Ireland bermain catur.

Memanglah Ireland tidak memaksimumkan jumlah cukai syarikat yang sepatutnya boleh diterima, namun disebabkan perjanjian buah hati ini, negara itu berjaya menggoda hampir semua pemain teknologi terbesar dunia. Dan sebaik gergasi bertapak di situ, mereka mula mengambil ribuan rakyat tempatan bekerja, meningkatkan kemahiran mereka dan membayar mereka gaji jauh lebih tinggi daripada biasa.

Selanjutnya, syarikat lain akan dipanggil untuk turut bertapak di Ireland bukan saja disebabkan kadar cukai syarikat yang begitu menggoda ini, malah disebabkan kepadatan bakat teknologi yang telah dipupuk oleh syarikat teknologi gergasi yang ‘bermastautin’ di situ.

Inilah kuncinya bagaimana kita dapat bersaing dengan bandar hebat seperti San Francisco, Shenzhen dan Singapura – dengan mewujudkan persekitaran yang cukup menarik untuk ‘menggoda’ syarikat teknologi gergasi kerana sebaik beroperasi di sini, mereka mampu memindahkan teknologi dan ilmu yang nilainya tidak terhitung ini kepada rakyat Malaysia.

Gaji jauh tinggi daripada biasa yang diterima mampu meningkatkan taraf hidup dan meningkatkan kemahiran rakyat kita, yang seterusnya dapat membantu kita mempelopori teknologi baharu lagi maju, seterusnya mengubah KL menjadi hab pemula sejati.

 

Penulis boleh dihubungi menerusi [email protected].

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.