
Pelbagai soalan harus dilontarkan, antaranya sampai bila kita masih hendak menggunakan sistem kuota dalam pendidikan negara kita?
Baru-baru ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada program Temu Anwar Kedah di Universiti Utara Malaysia ada mengatakan bahawa sistem kuota Melayu dan Bumiputera dalam pendidikan perlu dikekalkan bagi mengimbangi jumlah pelajar kaum itu di institut pengajian tinggi (IPT).
Beliau juga berkata berkata jika sistem itu tidak dikekalkan ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan atau ‘tempang’ jumlah pelajar Melayu di IPT termasuk dalam jurusan tertentu.
Berdasarkan kenyataan itu, perlukah kita terus menggunakan kuota untuk pendidikan negara kita buat selama–lamanya? Adakah kita masih tidak mampu untuk berdiri sendiri dan bersaing secara sihat dengan kaum–kaum lain yang ada dalam negara kita?
Kenapa kita masih perlu ada kuota dalam negara kita sehingga hari ini? Media tempatan sering melaporkan kejayaan demi kejayaan dikecapi pelajar kita setiap masa. Memandangkan pelajar kita semakin cerdik dan mampu mencapai pelbagai kejayaan, mengapa kita masih perlu sistem kuota dalam pendidikan negara kita?
Apa mesej sebenarnya hendak disampaikan dengan mengekalkan sistem kuota di dalam pendidikan negara ini? Kenapa kita tidak boleh melaksanakan sistem meritokrasi atau berasaskan merit dalam pendidikan negara kita?
Negara kita telah mencapai kemerdekaan lebih 65 tahun, adakah kita masih perlu mengamalkan sistem kuota untuk beberapa perkara termasuk di dalam perihal pendidikan kita?
Walaupun ada segelintir pihak menafikan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai kaum hanya kerana Perlembagaan Persekutuan negara tidak menyatakan secara jelas mengenai status masyarakat majmuk, hakikatnya Malaysia memang sebuah negara pelbagai kaum semenjak sebelum merdeka lagi dan akan kekal sedemikian untuk selama–lamanya.
Sebagai sebuah negara pelbagai kaum, persaingan secara sihat harus dibenarkan untuk wujud sekiranya kita ingin membawa negara kita ke arah kemakmuran dan kemajuan.
Sudah sampai masanya juga semua IPT atau universiti menerima hakikat bahawa zaman kini sudah berubah, oleh itu sebarang dasar atau peraturan lama yang telah dibuat dan diikuti selama ini harus juga diubah bagi memastikannya terus wujud, paling penting bersaing sehingga ke peringkat antarabangsa.
Persaingan secara sihat tanpa adanya sebarang jenis kuota dilihat penting bagi memastikan kualiti pelajar yang berjaya masuk ke dalam IPT atau universiti adalah yang benar-benar terbaik dan layak.
Jika kita masih mengekalkan sistem kuota di dalam pendidikan negara, dibimbangi kita akan menghasilkan graduan kurang berkualiti dan kurang tahap daya saing.
Penting untuk kita menghasilkan graduan terbaik dan berkualiti demi kebaikan masyarakat dan kemajuan negara kita. Negara perlu menghasilkan graduan bukan hanya mampu bersaing dengan kaum lain dalam negara tetapi peringkat antarabangsa.
Kerajaan disaran mengkaji isu ini dengan lebih teliti dengan mempertimbangkan penubuhan jawatankuasa terdiri pakar pendidikan serta anggota badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan untuk mendalaminya.
Sudah sampai masanya sistem pendidikan negara melaksanakan perubahan sejajar dengan kehendak masa kini serta cabaran hebat di seluruh dunia pasca pandemik Covid-19.
Muzaffar Syah Mallow adalah profesor madya Fakulti Syariah & Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.