Ketakutan (atau demam?) politikus menghadapi PRU

Ketakutan (atau demam?) politikus menghadapi PRU

Mereka takut untuk berdepan pengundi atas kegagalan mereka sendiri.

Saya hairan kenapa ahli politik begitu takut untuk menghadapi PRU. Nampaknya hanya pihak tertentu yang diketuai oleh presiden Umno yang mendesak PRU, yang selebihnya termasuk pembangkang kelihatan keberatan untuk berdepan pengundi.

Apa yang mereka takutkan? Bukankah mendapat mandat daripada rakyat sebahagian daripada proses amalan demokrasi?

Apabila Muhyiddin Yassin mengambil alih kerajaan selepas Langkah Sheraton, ramai dalam kalangan pembangkang termasuk Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, dan Mohamad Sabu melaung “kerajaan pintu belakang” dan menuntut mandat dikembalikan kepada rakyat. Mereka mendakwa tindakan mengambil alih kerajaan Pakatan Harapan suatu pengkhianatan, tidak berperlembagaan, dan tidak boleh dibiarkan.

Tetapi kini PH nampaknya memberi talian hayat kepada kerajaan pintu belakang yang sama, yang kini memerintah secara proksi melalui Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Peliknya Anwar, Anthony Loke, dan Mat Sabu berusaha keras untuk meyakinkan dan menenangkan PM bahawa kerajaannya akan kekal utuh selagi mereka diberi pembiayaan politik dan beberapa perjanjian tipis yang lain.

Perbincangan mengenai undang-undang anti-lompat parti yang merupakan perjanjian pokok memorandum persefahaman adalah tidak praktikal. Bukankah Anwar dan Amanah telah menyerap katak-katak Umno ke dalam parti mereka baru-baru ini yang menyaksikan kerajaan Melaka terpaksa mengadakan pilihan raya? Paling teruk, mereka membenarkan katak-katak ini bertanding bawah logo PH.

Mereka tahu Bersatu juga dipenuhi dengan katak-katak dari Umno. Adakah Bersatu benar-benar bersetuju dengan undang-undang anti-lompat parti? Oleh itu, tidak menghairankan, sama seperti Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), undang-undang yang dicadangkan telah dimasukkan ke “backburner” minggu lepas atas alasan lemah, bahawa mereka “perlu mengadakan perbincangan lanjut” dan Loke dengan amat “bertanggungjawab” mencadangkan MoU itu dilanjutkan selepas Julai.

Alasan yang diberikan untuk mengelak PRU ialah dengan menakutkan rakyat bahawa pilihan raya yang diadakan semasa pandemik akan menyebabkan impak besar kepada ekonomi dan pilihan raya itu akan membawa pemimpin “Kluster Mahkamah” kembali berkuasa.

Biar saya katakan begini: Negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang teruk kerana diuruskan oleh menteri-menteri lemah dan tidak bertanggungjawab yang dikitar semula daripada kerajaan Perikatan Nasional terdahulu. Ismail tidak dapat menyingkirkan mereka kerana beliau diberikan mandat atas sokongan lemah daripada menteri-menteri dari Bersatu dan PAS.

Dengan kerajaan yang begitu lemah, adakah pelabur asing berani melabur di Malaysia? Adakah Menteri Ekonomi dan Menteri Perdagangan Antarabangsa kedua-duanya daripada Bersatu bekerja keras untuk membawa pelaburan dan meningkatkan ekonomi? Bagaimana pula dengan dasar inovatif baharu yang diperlukan untuk mengatasi masalah ekonomi era pandemik yang tidak dijangka? Jelas tangan Ismail terikat dan beliau sering ditekan seolah-olah sebagai tahanan politik.

Kini ahli-ahli politik pula dikatakan takut kembalinya “Kluster Mahkamah” memerintah? Adakah mereka kini meragui kebebasan badan kehakiman atau memberi gambaran hakim-hakim kita memakan rasuah? Tidakkah mereka menghina kematangan pemikiran pengundi dan prinsip demokrasi? Bukankah rakyat hakim yang sebenar? Mengapa takut penghakiman mereka?

Jika ahli politik itu melakukan kesalahan, biarlah pengundi menjadi hakim dan juri untuk memutuskan perkara yang betul dan salah. Nampaknya ahli politik daripada kerajaan dan PH jelas takut dengan pertimbangan dan keputusan rakyat!

Bukankah sistem demokrasi kita memberi mandat kepada rakyat untuk menentukan masa depan sendiri? Siapa ahli politik untuk menyoal kebolehan menganalisis keadaan sebenar pengundi kita? Pengundi kini sudah matang untuk membuat keputusan sendiri.

Ketakutan terhadap “hantu” jangkitan Covid-19 sering disebut. Negara kita telah melangkah ke peringkat endemik dengan lebih kurang semua rakyat dewasa divaksinasi. Seluruh dunia menerima wabak itu sebagai sebahagian daripada kehidupan. Beberapa negara telah berhenti memaksa rakyat memakai pelitup muka. Hampir 200 negara di seluruh dunia telah menjalankan pilihan raya dalam tempoh 2 tahun pandemik mengancam manusia sejagat.

Di Amerika Syarikat, 158 juta orang keluar mengundi pada kemuncak wabak Covid-19. Kira-kira 185 juta orang mengambil bahagian dalam pilihan raya tempatan Indonesia.

Jadi, saya tertanya-tanya, mengapa ahli politik kita begitu takut dengan keputusan peti undi (atau adakah mereka demam apabila memikirkan pilihan raya)?

Saya hanya boleh memikirkan satu alasan – mereka takut untuk berdepan pengundi atas kegagalan mereka sendiri. Mereka bercakap tentang demokrasi, ketelusan, kredibiliti, dan mandat. Semuanya cakap sahaja tapi tak serupa bikin.

Rakyat berhak menentukan masa depan negara dan kini telah tiba masanya rakyat yang menentukan hala tuju dan masa depan mereka.

 

P Waytha Moorthy adalah Presiden Parti Kemajuan Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.