Bila makanan atas meja tidak diutamakan

Bila makanan atas meja tidak diutamakan

Lebih ramai penduduk dijangka kurang makan buah dan sayuran ketika pandemik kerana kenaikan harga, sementara bajet bulanan penduduk harus diperketatkan.

Sudah sekian lama Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengingatkan kerajaan mengenai bahaya ketiadaan jaminan bekalan makanan. Namun pihak berkuasa hanya memekakkan telinga dan enggan merombak keseluruhan dasar pertanian yang turut termasuk tinjauan ke atas rantaian pengagihan makanan.

Terdapat perbincangan yang berlegar mengenai kewujudan kartel dan orang tengah yang mengaut keuntungan lebih besar daripada petani atau peruncit sejak berdekad-dekad lamanya.

Kami menggesa kerajaan agar tidak menangani isu jaminan bekalan makanan sedikit demi sedikit, tetapi terlebih dahulu meneliti dan mengenal pasti masalah di semua sektor serta merumuskan penyelesaian jangka panjang.

Malah kajian pada 2014 yang diterbitkan dalam Malaysian Journal of Public Health Medicine menunjukkan 25% orang dewasa kekurangan makanan; 25.5% kekurangan pelbagai makanan; 29.1% terpaksa mengecilkan saiz hidangan makanan dan 15.2% tidak memakan makanan utama kerana kesempitan wang.

Penduduk kurang memakan buah dan sayuran seperti yang didedahkan National Plan of Action For Nutrition of Malaysia 111 2016-2025. Ia menyatakan kira-kira 59.1% orang dewasa jauh lebih kurang memakan buah daripada cadangan dua hidangan sehari, sementara 81.7% mengambil kurang daripada tiga hidangan sayuran sehari yang dicadangkan.

Isu makanan melanda Malaysia sejak 1980-an, yang menyaksikan negara mula mengetepikan pertanian dengan memberi ruang kepada perindustrian dan sektor perkhidmatan.

Menangani masalah jaminan bekalan makanan menjadi tugas penting kerana diet tidak seimbang boleh menyebabkan kekurangan zat makanan dan membuatkan tubuh menjadi kurus, pertumbuhan terbantut, kekurangan berat badan atau mungkin berlebihan berat badan.

Diet tidak seimbang mungkin lebih ketara ketika pandemik Covid-19 ekoran inflasi global.

Lebih ramai penduduk dijangka kurang makan buah dan sayuran ketika pandemik kerana kenaikan harga, sementara bajet bulanan penduduk harus diperketatkan.

Dengan kemunculan inflasi, kebanyakan penduduk B40 dan khususnya kumpulan berpendapatan rendah pertengahan (M40) akan teruk terjejas memandangkan pendapatan mereka kurang cenderung untuk naik atau tidak naik seiring inflasi.

Sejak awal Januari 2022, harga makanan penjaja naik kira-kira 20% (RM4.20-RM5.00 di sesetengah tempat). Ini paling memberi kesan kepada kumpulan berpendapatan rendah kerana mereka cenderung makan di luar memandangkan mereka sering melakukan 2-3 kerja meskipun sebelum muncul pandemik untuk mencukupkan nafkah.

Pekerjaan dalam musim pandemik juga sukar diperolehi. Oleh itu bagaimana mereka hendak menyara diri dan keluarga?

Makanan cenderung menjadi barang terakhir dalam bajet bulanan mereka selepas memberi keutamaan kepada sewa, pinjaman bank, utiliti, pendidikan dan mungkin bayaran perubatan.

Ini kerana semuanya akan memberi kesan drastik ke atas kehidupan seharian mereka berbanding makanan dengan mereka boleh memilih sama ada memakan makanan murah dalam jumlah sedikit dan/atau tidak memakannya.

Keluarga juga mungkin terpaksa tidak memakan buah dan sayuran kerana dua alasan utama, iaitu harga tinggi kedua-dua makanan itu (meskipun keluaran tempatan) dan kedua, iaitu lebih mudah dicernakan berbanding daging, justeru lebih cepat terasa lapar.

Sayuran mengambil masa 30-60 minit untuk dicerna, sementara daging ayam mengambil kira-kira dua jam dan daging lembu atau kambing empat jam.

Jika kita mengambil kira laporan FAMA pada 17 Feb mengenai harga runcit komoditi di Seberang Perai Tengah, ayam yang diproses berharga RM9.30 sekg berbanding bawang besar import yang berharga RM3.50 sekg; cili dari Thailand RM15 sekg, kelapa parut RM9 sekg dan bendi RM12 sekg. Telur ayam (gred C), iaitu saiz paling kecil dan merupakan sumber protein termurah berharga RM3.90 untuk 10 biji.

Buah seperti betik berharga RM5 sekg; pisang berangan dan pisang emas berharga RM6.50 sekg dan tembikai tidak berbiji RM4.50.

Golongan miskin perlu memilih antara makanan untuk mengisi perut atau mana yang tidak.

Dengan kekangan kewangan, keluarga berpendapatan rendah perlu memilih dengan mengutamakan apa yang hendak dimakan. Nutrisi bukan pilihan kerana mereka perlu memaksimumkan kuantiti makanan untuk keluarga dan pada masa sama, meminimumkan kosnya. Jika ini tidak berjaya, maka mereka perlu memikirkan untuk mengurangkan makanan yang dimakan.

Kami bimbang kerana dengan berbuat begitu, mereka akan mengalami kekurangan khasiat makanan yang membawa kepada obesiti dan diabetes dalam kalangan penduduk kerana mengambil lebih banyak nasi (karbohidrat).

Peningkatan penyakit dikaitkan dengan kekurangan vitamin dan mineral mungkin berlaku akibat kurang makan buah dan sayuran. Hospital dan klinik awam mungkin memerlukan bajet kesihatan lebih besar untuk merawat penyakit tidak berjangkit tetapi dikaitkan dengan nutrisi, yang sebaliknya boleh dicegah.

Sehubungan itu, kami menggesa kerajaan memberi keutamaan kepada jaminan makanan dengan merombak dasar pertanian.

Bagaimanapun, pandemik yang melanda kini menunjukkan kepada kita bahawa dasar pertanian yang baik perlu termasuk makanan ternakan, bahan kimia pertanian dan pengeluaran lain-lain keperluan pertanian. Ini dapat membantu mengurangkan kesan gangguan rantaian bekalan makanan atau ringgit yang lemah.

 

Mohideen Abdul Kader adalah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.