
Dalam organisasi, imej memainkan peranan penting dalam menentukan reputasi sesebuah organisasi, terutamanya dalam mempengaruhi persepsi orang ramai dan membuat keputusan mereka.
Secara umumnya, imej merupakan persepsi yang terbentuk serta dikongsi komuniti atau khalayak. Begitu juga dalam politik, penentuan kepada jatuh bangunnya sebuah parti politik juga kini ditentukan pembentukan imej dan persepsi awam ke atas imej pemimpin dan parti mereka.
Pada pilihan raya umum ke-14 lepas, kita sudah saksikan bagaimana imej seorang perdana menteri terjejas kerana beberapa isu dan skandal yang dibentuk dengan tujuan menjatuhkan imej pemimpin tersebut dengan pelbagai cara dan kaedah.
Begitu juga dengan politik di luar negara, apabila imej seorang presiden dijatuhkan melalui skandal seks yang berlaku di pejabatnya sendiri.
Ada juga pemimpin yang berjaya mengekalkan imejnya dengan beberapa pendekatan tersendiri sehingga wujudnya pengekalan imej yang dibentuk secara sistematik dan terarah bagi memastikan penampilan dan citranya sebagai pemimpin yang mendukung legasinya terus terpelihara dan tersemat dalam minda masyarakat.
Pembentukan citra tersebut terbentuk menerusi beberapa konflik yang tercipta di sekelilingnya sehingga dirinya dilihat sebagai penentu kepada permainan citra yang dibina olehnya secara psikologi dan spiritual.
Tokoh-tokoh seperti Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat antara pemimpin yang mempunyai citra tersendiri dengan gaya dan pembinaan imej berdekad lama.
Tokoh ini juga memerlukan bukan saja sokongan, tetapi pengiktirafan dalam kalangan penyokong dan pihak luar yang menjustifikasikan peranan mereka sebagai pemimpin berwibawa dan berwawasan.
Antara kriteria penting pada pemimpin bercitra seperti ini adalah mengelak sebarang skandal, terutamanya skandal moral dan seks. Ini bagi menjamin survival dalam bidang yang mereka pilih dan tidak menjadi modal murahan musuh untuk menyerang dari pelbagai dimensi dalam konteks masa dan ruang yang mampu menggugat citra pemimpin tersebut.
Citra pemimpin juga diuji ketika krisis berlaku. Kemampuan pemimpin berdepan krisis seperti pandemik Covid-19 juga menjadi kayu ukur penentuan kewibawaan dan kecemerlangan pemimpin tersebut dalam menghadapi krisis.
Antara pendekatan yang dipilih dalam menangani krisis adalah pendekatan hibrid dan diintegrasikan dengan data raya bagi mengenal pasti dan melaksanakan kaedah strategik bagi mendapatkan hasil diinginkan.
Sebagai contoh, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardem bertindak tegas memastikan negaranya berjaya dalam menangani pandemik Covid-19 berdasarkan maklumat kesihatan dan keadaan keselamatan negara itu.
Kejayaan setiap pemimpin dalam kaedah pelaksanaan menangani krisis atau pandemik seperti hari ini menjadi kayu ukur dan penentu kepada persepsi khalayak.
Gangguan yang wujud ketika menguruskan krisis seperti koordinasi, integrasi, sinergi dan arahan dari semasa ke semasa boleh mencetuskan keadaan luar kawalan yang mempengaruhi emosi dan minda khalayak. Cabaran ini akan mempengaruhi pembentukan citra dan turut memberi kesan kepada aspek pengurusan pembinaan citra pemimpin tersebut.
Oleh itu, dalam memastikan pembinaan citra yang akan menjadi sumber kekuatan dan sokongan adalah penting bukan saja untuk menjamin survival politik, tetapi menjadi kayu ukur kepada kejayaan dan legasi seorang pemimpin.
Bagi pemimpin muda, pembentukan citra secara gelojoh dan tidak sistematik akan memberi kesan bukan saja dalam penerimaan khalayak, tetapi juga meletakkan beliau dalam keadaan yang tidak pasti. Ini menjadikan dirinya mencari-cari citra yang sesuai dan boleh diterima khalayak.
Kembali kepada pandemik Covid-19, permainan citra amat penting bagi membuktikan pemimpin berjaya dalam melaksanakan segala perancangan dan pelaksanaan untuk memastikan keselamatan rakyat terjamin.
Dalam fasa kritikal ini, pemimpin bukan saja perlu menunjukkan ketegasan, tetapi harus bersikap lebih prihatin, peka dan cakna bagi setiap lapisan masyarakat.
Mereka perlu sentiasa meletakkan nasib rakyat sebagai keutamaan dan bukan memanipulasi emosi rakyat dalam membentuk citra palsu dan bersifat sementara.
Kecenderungan pemimpin untuk membentuk citra maya pada masa kini menjadikan mereka mendapat sokongan tinggi
di alam maya, tetapi secara realitinya, setiap isu dan kandungan yang dibina mereka itu tidak menyentuh secara langsung kebajikan rakyat di bawahnya.
Lebih bermetafora dan beretorik secara maya dan hanya bersikap selektif boleh menjejaskan citra pemimpin sebegitu secara relatifnya.
Suhaimee Saahar @ Saabar ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.