
Pada 1971 John Lennon menghasilkan antara karyanya yang terbesar. Malah ramai beranggapan karyanya paling besar. Lagu “Imagine” yang mengajak umat manusia menolak peperangan dan keganasan walau apa pun alasannya – baik untuk agama, ras mahu pun negara.
Walaupun Lennon menyarankan kita “imagine” atau bayangkan ia juga boleh ditafsir sebagai harapan wujudnya dunia yang indah. Atau impian mendiang.
Kata bekas anggota The Beatles itu, mungkin dia akan dilihat sebagai seorang “pemimpi” tetapi yakin bukan dia seorang sahaja yang “mengimpi”. Maksudnya ramai yang sama sama mempunyai impian indah untuk dunia ini.
Benar ramai yang mengimpikan kedamaian, kesejateraan, keindahan. Termasuk saya.
Lantas saya kini membayangkan dunia yang bebas daripada wabak Covid-19. Dunia yang bukan sahaja yang pernah kita tahu dan nikmati sebelum datangnya Covid-19 tetapi yang lebih baik.
Saya bayangkan Malaysia yang sihat dan kuat kerana vaksin yang selamat dan mujarab sudah ada. Tiada lagi yang dijangkiti Covid-19 atau apa pun virus lain. Bayangkan ekonomi pulih. Tiada lagi yang hilang sumber pendapatan. Anak-anak bersekolah semula. Siswa dan siswi berkuliah seperti biasa untuk menimba ilmu.
Bayangan lebih kuat waktu saya menulis artikel ini kerana negara jiran Indonesia diberitakan sudah menerima vaksin dari China. Di UK vaksin hasil Pfizer BioNTech sudah diperoleh. Siap sedia untuk digunakan. Benar ada yang sangsi. Namun, bagi saya penemuan vaksin ialah cahaya di hujung terowong gelap.
Kita pula sedang bergembira kerana kerajaan tidak lagi melarang rentas negeri dan tidak lagi melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) – di kebanyakan negeri meski pun jumlah kes aktif Covid-19 masih tinggi.
Kata bekas perdana menteri Najib Razak tindakan kerajaan itu merupakan “pengakuan” ia tidak lagi dapat membendung penularan tempatan virus. “Jadi sasaran kerajaan sudah bertukar daripada memutuskan rangkaian Covid-19 sepenuhnya kepada mitigasi penularan Covid-19 agar jumlah kes tidak mencanak naik berlipat ganda sampil menunggu vaksin sampai ke Malaysia”.
Jika benar apa yang Najib kata, keadaan membimbangkan.
Dan kata beliau lagi menerusi posting di Facebook “amat sukar untuk kata pendekatan baru ini adalah betul atau salah sebab realitinya ialah ekonomi negara sudah tidak dapat bertahan lagi dan ramai rakyat juga sudah tak tahan dengan PKPB berterusan”.
Satu gambaran yang malap dan sedih. Lantas saya bayangkan suasana indah dan gembira.
Saya bayangkan juga iklim politik negara yang tenang demi kebaikan semua. Sehingga kini sukar saya mencari satu perkataan untuk mengambarkan atau “describe” suasana politik kita.
Apa perkataan sesuai? Kelam kabut, sedih, mual, kelakar, lucu? Mungkin semua perkataan itu boleh digunakan. Yang nyata seperti saya tulis pada artikel lalu, apa yang berlaku dalam arena politik tanah air mirip filem P Ramlee “Keluarga 69”. Tunggang terbalik, songsang.
Lihat di Perak. Menteri besar orang PPBM. Yang gulingkan beliau menerusi usul undi percaya di Dewan Undangan Negeri, orang Umno. Umno memulakan lantas disokong Pakatan Harapan (PH).
PAS sokong MB dan tuduh sesiapa yang undi tidak sokong MB adalah pengkhianat dan penderhaka terhadap negara, bangsa dan agama.
Maknanya yang dituduh ialah Umno – pada hal PAS duduk bersama Umno dalam Muafakat Nasional. Tapi PAS juga duduk dalam Perikatan Nasional (PN) bersama PPBM. Umno yang ada dalam kerajaan PN yang dipimpin PPBM tidak berkenan dengan PPBM.
Pun begitu Umno kata seboleh-bolehnya ingin kekalkan kerajaan PN di Perak. Maknanya bersama PAS dan PPBM. PAS kata pimpinan pusatnya memutuskan PAS tidak akan menyertai kerajaan baru Perak. Sebabnya mereka sokong bekas MB dan PPBM. Ye lah, kan kata PAS sesiapa yang tak sokong MB dari PPBM “khianat dan derhaka”?
Akan tetapi kini PAS macam ada “change of heart”. Parti Islam itu kata mereka terbuka untuk bincang tubuh kerajaan baru Perak.
Mungkin atau tentu PAS ubah pendirian berikutan kenyataan presiden Umno, jika kerajaan bersama PN tidak dapat ditubuhkan, Umno tidak tolak kemungkinan tubuh kerajaan baru bersama gabungan lain termasuk bergabung dengan PH yang dianggotai DAP, PKR dan Amanah.
Dan menurut PH pula khususnya DAP, mereka terbuka unuk berkerjasama “jika ini mendatang manfaat kepada rakyat”.
Saya bayangkan Perak yag aman dan maju dipimpin seorang MB yang bijak cekap, ikhlas dan bersish bersama kerajaannya yang juga cekap, ikhlas dan bersih. Apa pun gandingan politiknya.
Di peringkat persekutuan kita disajikan juga keadaan mirip Keluarga 69 .
Umno tak suka PPBM tapi ada orang Umno duduk dalam kerajaan PN pusat sebagai menteri dan timbalan menteri. Ada juga yang mengetuai GLC. Dan ada orang Umno duduk di luar. Ada yang kata terus sokong PN dan ada yang mahu tarik atau hentikan sokongan.
PAS suka Umno dan duduk dalam MN. Dan duduk juga dalam PN bersama PPBM. Manakala PPBM pimpin PN tapi nak duduk dalam MN .Pelbagai lagi kong kali kong. Cukuplah sebelum kita bertambah pening.
Bagi ketua penyelidikan Ilham Centre Profesor Madya Dr Yusri Ibrahim: “Penggambaran drama di Perak adalah permulaan untuk pembikinan filem pada skala lebih besar di persekutuan”. Demikian catatan Facebook beliau ketika MB Perak terguling pada hari Jumaat lalu.
Pada petang yang sama wartawan veteran A Kadir Jasin menerima mesej menerusi WhatsApp daripada seorang pengurus tabung atau fund manager keturunan Cina Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong.
Mesej itu kata Kadir berbunyi: “Umno and DAP working together. Dream team finally coming together”. Atau “Umno dan DAP kerja bersama. Pasukan impian akhirnya menjadi kenyataan”.
Menerusi Facebook, Kadir bertanya apakah mesej mengenai kerjasama Umno-DAP omong-omong kosong semata-mata atau pra-tayang kepada realiti yang sedang menjelang?
“Apakah Umno yang terdedak untuk kembali berkuasa tidak terfikir untuk bekerjasama dengan sebuah parti yang kuat seperti DAP”? tanya Kadir.
Apatah lagi BN kata Kadir sudah nazak. MCA dan MIC tidak dapat menarik undi bukan Melayu lagi. Undi Cina dan India sudah dibolot DAP.
Bagi Kadir tidak menghairankan jika DAP yang pernah merasa nikmat kuasa melalui PH beraspirasi untuk kembali semula ke Putrajaya melalui sebuah pakatan baru yang termasuk Umno .
Lalu Kadir bertanya lagi “Kalau Dr Mahathir Mohamad boleh bekerjasama dengan DAP, PKR dan Amanah bagi menumbangkan BN, apakah Umno tidak terfikir kaedah yang sama”?
Izinkan saya menambah persoalan – jika PAS boleh berkerjasama dengan DAP dalam gabungan Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan juga PH mengapa tidak Umno?
Pun begitu tidak memeranjatkan jika ada u-turn dan sebagainya sama ada di peringkat pusat mahu pun di Perak. Demi survival bukan sahaja parti tetapi faedah dan manfaat pemimpin. Kan kita berbicara mengenai politik? Di mana segala kemungkinan boleh berlaku.
Pun begitu saya bayangkan kebimbangan mengenai ketidakstabilan poltik yang ditimbulkan Fitch Ratings baru-baru ditangani dengan baik.
Lantas saya bayangkan juga seorang perdana menteri yang mempunyai wawasan, kredibiliti, bersih, bijak dan benar-benar berkhidmat untuk rakyat dan negara. Siapa pun orangnya.
Saya bayang sebuah kerajaan berbilang kaum dan agama yang kukuh yang kesahihannya atau “legitimacy” tidak dipertikaikan. Kerajaan yang mendukung demokrasi, keluhuran undang-undang, kebebasan bersuara. Saya bayangkan Malaysia yang aman, maju, adil dan saksama.
Bernyanyi Lennon dalam Imagine “You may call me a dreamer but I’m not the only one”. Saya pinjam lirik itu.
Pada 8 Disember 1980 John Lennon ditembak mati di depan apartmennya di Manhattan New York oleh seorang yang bernama Mark David Chapman. Ironinya Chapman seorang peminat The Beatles.
Ironinya juga Lennon yang memperjuangkan kedamaian dan seorang yang anti keganasan mati akibat tindakan ganas.
Hari ini genap 40 tahun pemergian Lennon. Beliau tidak pernah dilupakan.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.